Annuar Musa

KUALA LUMPUR- UMNO tidak menghalang ahlinya yang pernah keluar parti kembali semula ke pangkuan parti itu.

Namun Ahli Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata,  mereka yang ingin kembali menyertai parti itu perlu melalui proses yang telah ditetapkan sebelum diputuskan oleh Majlis Tertinggi.

“Kita memang ada menerima permohonan daripada Datuk Seri Salleh Said Keruak dan beberapa orang pemimpin dari Sabah.

“Oleh kerana mereka dahulu keluar mereka terpaksa membuat permohonan baru kerana Majlis Tertinggi telah membuat keputusan tertentu, kaedah-kaedah bagi mereka-mereka yang ingin kembali semula kepada UMNO.

“Tetapi secara dasar sesiapa sahaja boleh balik untuk menjadi ahli, tidak ada masalah cuma proses tertentu ada di mana perakuan daripada UMNO negeri akan diangkat untuk kelulusan Majlis Tertinggi,” katanya kepada pemberita ketika melawat  Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah hari ini.

Menurut Annuar, sesiapa pun yang mahu bersama semula dengan UMNO tidak wajar dihalang, sebaliknya mereka perlu diterima dengan hati terbuka.

“Parti politik milik orang ramai. Terima dengan hati terbuka bak kata orang tua, kecil tapak tangam nyiru kita tadahkan,” ujarnya.

Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Salleh yang juga merupakan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia telah menghantar permohonan untuk menyertai semula parti itu pada 26 Jun lalu.

Salleh membuat keputusan itu selepas membatalkan permohonannya untuk menyertai PKR pada April lalu.

Untuk rekod, Salleh memohon menyertai PKR pada Oktober tahun lalu selepas bersama sebilangan besar pemimpin UMNO Sabah bertindak keluar parti pada Disember 2018. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. boleh terima bekas ahli yg khianat ni tapi dgn syarat mereka tak boleh menjadi calon adun sbb ini akan melumpuhkan barisan kepimpinan muda yg telah bersusah payah mengalas tanggung jawab yg ditinggalkan oleh pengkhianat yg lari meninggalkan UMNO… bila dah nampak keuntungan sibuk nak masuk UMNO balik… menyampah aku…

Comments are closed.