KLANG – Tindakan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) membuat pengumuman berdasarkan sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) pada saat akhir hingga membawa kepada penutupan pasar raya dan pusat beli-belah telah mengelirukan orang ramai.
Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati kekeliruan itu dapat dilihat apabila orang ramai masih lagi mengunjungi pasar raya yang disenarai pendek dalam HIDE, ia termasuk Pusat Borong GM Klang, Bandar Botanik, di sini.
Menurut Pengurus Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam GM Klang, Norsuhaida Othman, pihaknya terpaksa berhempas-pulas memaklumkan perkara itu melalui hantaran di laman web dan media sosial rasmi.
“Lewat malam tadi kami terpaksa memberitahu kepada semua kakitangan dan orang ramai bahawa GM KLang akan ditutup bermula 9 hingga 11 Mei 2021.
“Sekarang kalau kita tengok pun masih ramai orang datang ke GM Klang untuk membeli-belah malah pihak keselamatan bersedia untuk maklum kepada pengunjung.
“Kita pun baru dimaklumkan malam tadi, tapi kita cuba termampu untuk beritahu semua pengunjung yang datang pada hari ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di Pasar Borong GM Klang, hari ini.
Dalam pada itu, GM Klang sentiasa mematuhi arahan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk tidak membenarkan kanak-kanak mengunjungi pasar raya itu.
“Kita sendiri bertanyakan isu kanak-kanak ini kepada pihak berkuasa tempatan dan kita sentiasa tengok kepada SOP MKN, boleh atau tidak, malah kita sentiasa ikut SOP MKN.
“Kita sebenarnya tidak menggalakkan pengunjung membawa kanak-kanak ke pasar raya kerana kita tahu mana-mana pasar raya pun dalam keadaan begini nak raya, keadaan agak ramai.
“Kalau boleh memang kita tidak galakkan pengunjung membawa kanak-kanak ke dalam GM Klang,” jelasnya.
Ditanya tentang keperluan untuk semua kakitangan GM Klang menjalani ujian saringan Covid-19, Norsuhaida berkata, perkara itu menjadi kewajipan kepada setiap kakitangan yang bekerja di situ.
“Jika terdapat kes terpencil, kita akan menyuruh pihak kedai menutup kedai serta-merta dan buat sanitasi kedai sebelum dibenarkan beroperasi kembali,” katanya.
Beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa merujuk kepada laman sesawang dan media sosial rasmi GM Klang untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung penutupan sementara operasi pasaraya berkenaan.
“Kepada pengunjung-pengujung, GM Klang minta maaf arahan yang telah diterima sangat di saat akhir, jadi apa yang boleh kita buat kita telah umumkan di media sosial kami
“Apa-apa perkembangan GM Klang tolong rujuk kepada lawan web rasmi dan media sosial kami untuk tahu kesahihannya jangan dengar khabar angin,” katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung yang ditemui di pasar borong itu memberitahu, dia tidak menyedari operasi GM Klang mula ditutup untuk proses sanitasi bermula hari ini.
Menurut Hamzani Wahid, 57, dari Johan Setia, dia hanya dimaklumkan perkara itu apabila pengawal keselamatan melarangnya memasuki bangunan pasar borong itu pada tengah hari ini.
“Saya pun tak tahu GM Klang tersenarai dalam HIDE, saya datang sini nak buat kaca mata, saya tak tahu pun GM KLang ditutup.
“Kalau dah tersenarai elok juga tutup takut kes tinggi kan, lebih baik tutup daripada orang datang sini bersesak-sesak,” katanya.
Bagi Nor Fatihah Azmai, 30, dari Bandar Botanik pula, dia hanya mengikuti perkembangan itu melalui aplikasi WhatsApp sahaja dan maklumat awal diberitahu penutupan itu berkuat kuasa esok, bukan hari ini.
“Saya tak tahu GM Klang tutup hari ini, kita orang tengok dekat WhatsApp kata mula esok, dengar tiga hari tutup. Memang datang nak beli barang satu sahaja, tapi dah tutup nak buat macam mana, balik saja lah.
“Langkah kerajaan tutup GM Klang tiga hari memang bagus, sudahlah tak boleh rentas negeri dan daerah, lebih bagus tutup saja kawasan wabak,” katanya. – MalaysiaGazette