Izah Asmadi

KUALA LUMPUR – Bagaimana seorang pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pesawat ini yang dahulunya pernah menjadi gelandangan ubah hidup sendiri?

Pemilik nama Izah Asmadi yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini telah memuatnaik kisahnya yang telah memberi inspirasi ramai orang di media sosial.

Apakah kisah silam kehidupan anak gadis berusia lewat 20-an yang pernah bergelar gelandangan berijazah ini?

Kita ikuti cerita lanjut daripadanya:

“Saya membesar di merata negeri iaitu Melaka, Kuala Lumpur, Puchong, Kota Bharu, Kedah dan Sepang.

Sejarah pendidikan saya ialah Tadika Kemas Telok Mas (1998), SRK Telok Mas (1999-2000), SK Paya Bemban (2000-2004), SMK Kota Bharu (2005-2007), MRSM Kuala Krai (2008-2009), Kolej Mara Kuala Nerang (2010-2011), UniKL Malaysia Institute of Aviation Technology (2011-2015).

Walaupun saya ada Bachelor Degree in Aircraft Engineering, saya telah mulakan kerjaya saya sebagai creative designer dengan portfolio yang saya simpan sejak di universiti.

Perjalanan hidup saya tidak mudah. Bermula pada tahun 2017, disebabkan beberapa konflik yang memaksa saya buat keputusan untuk keluar dari rumah.

Dengan beg kecil umrah yang ada beberapa helai baju, komputer riba dan resume, saya naik bas menuju ke stesen bas Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Tanpa sebarang perancangan hendak tinggal di mana, hendak kerja dengan siapa, saya terjah tanpa berfikir panjang dan perancangan.

Sampai sahaja di TBS, saya menghantar mesej beberapa kenalan di Selangor untuk merayu supaya dapat sewa rumah dengan bajet RM100.

Hari pertama saya tak dapat sebarang maklum balas, maka saya terpaksa tidur di TBS.

Sejujurnya, saya takut, jadi saya cari sudut yang terang paling dekat dengan polis.

Selama tiga hari saya bermalam di kerusi besi sejuk TBS itu menanti jika ada rumah yang boleh disewa.

Alhamdulillah, hari ketiga saya dapat jawapan daripada salah seorang akhawat Sri Serdang yang sudi untuk izinkan saya hutang deposit sampai saya dapat kerja.

Seminggu pertama, saya habiskan semua masa yang ada mohon kerja kosong yang ada di Jobstreet, dengan bantuan kawan serumah.

Saya masih ingat, betapa hampanya hati kerana tidak dapat sebarang tawaran kerja, saya duduk atas lantai termenung menghadap almari usang dengan rambut serabai dalam bilik baju.

Tidak ada sebarang air mata yang terkeluar. Cuma keperitan yang tidak terucap selama berjam-jam sambil memegang telefon bimbit yang hampir hancur.

Kerjaya pertama setelah mengalami ‘homelessness’

Akhirnya, pada minggu kedua, Tuan Mohd Farhan Zakaria, adik kepada Tuan Faiz Borong China, salah seorang guru saya, hubungi untuk menawarkan kerja.

Saya jumpa semangat baru. Cuma, Sri Serdang dan Gombak terlalu jauh. Saya terpaksa naik komuter dan grab untuk sampai ke tempat kerja.

Saya tak mampu untuk pindah Gombak sebab tidak ada duit lansung untuk bayar deposit rumah sewa.

Cuma ada bajet cukup untuk makan sekali sehari dan pengangkutan sahaja. Itupun saya tidur di surau pejabat dan ulang alik seminggu sekali dan makan biskut yang disedekahkan di pejabat. Tebal muka, malu tidak terkata.

Kadang-kadang saya menangis gastrik sambil buat kerja design. Saya juga cuba untuk buat duit tepi seperti job design freelance pada waktu malam, basuh tandas, kemas rumah orang pada hari minggu.

Pernah sekali, saya baru selesai kemas rumah orang, salah seorang pelanggan saya panggil interview untuk job freelance.

Disebabkan saya tak cukup duit untuk balik rumah, saya terpaksa pergi dengan baju hitam yang agak lusuh dan kotor.

Saya minta maaf kepada beliau sebab pakai baju yang tidak sesuai dan minta tumpang bilik air untuk bersihkan diri.

Beliau screenshot perbualan kami dan buat post di Facebooknya dengan komen, “Cekal anak muda ni”.

Terpaksa berhenti kerja di Big Mind

Tuan Mohd Farhan ajar saya banyak benda termasuk ilmu FB Ads dan bisnes. Saya terhutang budi padanya.

Tetapi bulan kedua, walaupun sebak, saya terpaksa lepaskan kerja di Big Mind kerana dapat tawaran untuk kerja di Sri Serdang.

Dalam kepayahan hidup itu, pernah saya tulis di Twitter saya, “Satu hari nanti aku nak duduk di kondo level tinggi paling selesa dengan keluarga, kerja freelance, bangun pagi menghadap awan”.

Selama dua tahun saya berkhidmat dengan Pembina Trading & Services sebagai digital marketer dan designer, Tuan Muhammad Nazmie Razak menjadi supervisor dan mentor yang telah mengajar saya banyak ilmu kehidupan, design, bisnes dan marketing.

Kejayaan kecil hari ini kini, dengan growth mindset yang dilatih, saya berubah menjadi seorang penulis konten dan marketing strategist untuk bisnes sendiri dan clients.

Sekarang saya mampu menyewa rumah sendiri, sebuah kondo 1,000 kaki persegi di Kuala Lumpur. Bangun pagi tengok awan.

Setiap kali saya bangun pagi saya teringat tweet saya empat tahun lepas. Cuma, matlamat saya belum tercapai. Lima juta dalam lima tahun. Saya akur dan saya masih perlu tambah baik diri sendiri.

Projek terbaru, saya ingin latih skil jualan dan PR. Saya percaya skil ini lebih mudah dibentuk jika saya belajar dengan sistem yang betul. Maka, saya menjadi ejen hartanah bersama RockStar Casa Realty.

Perjalanan saya masih jauh. Saya perlukan sokongan tuan puan. Jika tuan puan perlukan rumah idaman yang selesa, besar di Kuala Lumpur, hubungi saya, saya tolong carikan.

Saya faham betapa nikmatnya dapat jumpa rumah idaman itu. Mohon doakan kejayaan saya untuk latih diri sendiri ya,” katanya mengakhiri cerita hidupnya yang pernah bergelar gelandangan berijazah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Takpelah adik kahwin dengan abang supaya kita berdua boleh kongsi sewa kondo mewah hidup berkeluarga ye.

Comments are closed.