KUALA LUMPUR – Penyelidik Malaysia yang mengambil bahagian dalam Seoul International Invention Fair (SIIF 2021) berjaya membawa pulang pelbagai anugerah dan pingat semasa Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah yang di siarkan secara online pada 4 Disember lalu.

Pertandingan yang berlangsung di Korea Selatan itu dianjurkan oleh Korea Invention Promotion Association (KIPA).

Ia merupakan pameran dan pertandingan rekacipta tahunan yang diiktiraf ketiga terbesar di dunia.

Pihak penganjur telah berjaya menghimpunkan tidak kurang dari 465 produk rekacipta daripada lebih 24 negara.

MARS satu-satunya organisasi eksklusif yang dilantik oleh KIPA membawa penyertaan dari Malaysia ke SIIF. Perlantikan ini mengambi kira peranan MARS yang menjadi badan bukan kerajaan mewakili para penyelidik daripada pelbagai institusi penyelidikan di Malaysia sejak daripada penubuhannya hampir 30 tahun yang lalu.

Presiden MARS iaitu Dr. Muhd Noor Muhd Yunus berkata, dengan mengambil kira kriteria utama pertandingan seperti tahap reka bentuk teknologi, kebolehpasaran (marketability) produk dan nilai pasaran, pasukan Malaysia telah berjaya membawa pulang 2 Grand Prize, 1 Best inventor, 24 pingat emas, 27 pingat perak dan 37 pingat gangsa.

Dua Grand Prize dimenangi oleh penyelidik daripada Universiti Teknologi Malaysia dengan tajuk inovasi A Geoinformation-Based Search And Rescue System dan MARA Japan Industrial Institute dengan tajuk Controlling Bay Barrier Parking Using Android Phone Via Bluetooth.

Manakala Anugerah Best Inventor dimenangi oleh UCSI University dengan inovasinya bertajuk iConMix: An Automated Intelligent Mixing System for Optimal Concrete Mixing Powered by Machine Learning and Complex Fuzzy Logic.

Menurut setiausaha MARS, iaitu Hasfazilah Hassan, pada tahun ini penyertaan Malaysia meningkat dua kali ganda kepada 113 inovasi, mewakili 23 institusi pengajian tinggi dan juga institusi penyelidikan.

Ini menunjukkan pandemik Covid-19 bukanlah penghalang kepada para penyelidik kita untuk terus produktif dan berinovatif melakukan pelbagai penyelidikan
dan kajian.

Pada kali ini, penyertaan terdiri daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia, (USM) Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Malaysian Agricultural Research Agency (MARDI), Agensi Nuklear Malaysia, Green Cities And Construction Reseach Group, MARA Japan Industrial Institute, Multimedia University, University College Sedaya International (UCSI), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), UiTM Perlis, UiTM Shah Alam, Universiti Pertahanan National Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, UTM AMTEC Skudai dan University College TATI Terengganu.

”Kejayaan penyelidik kita di persada antarabangsa seperti ini suatu penghargaan dan penghormatan yang besar terhadap hasil usaha penyelidik-penyelidik dari Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette