Subjek, seni persembahan kini berada di kedudukan ke-19 berbanding di tangga ke-45 sebelum ini.

 

KUALA LUMPUR – Lapan subjek Universiti UCSI kini tersenarai dalam ranking dunia berbanding hanya empat subjek tersenarai sebelum ini.

Berdasarkan statistik QS World University Rankings (WUR) 2022 mengikut subjek, seni persembahan kini berada di kedudukan ke-19 berbanding di tangga ke-45 sebelum ini dan masih mengekalkan kedudukan yang pertama di Malaysia.

Subjek pengurusan dan hospitaliti naik ke tangga 40 selepas berada di kedudukan 100 terbaik tahun lalu dan masih kekal yang kedua terbaik di Malaysia.

Subjek kejuruteraan petroleum kekal di kedudukan 150 terbaik sementara subjek pengajian pengurusan dan perniagaan terus membaiki kedudukan dengan memasuki kelompok 250 terbaik.

Sebelumnya, subjek yang tidak tersenarai iaitu seni dan reka bentuk, pengurusan dan sains sosial, kejuruteraan kimia dan perubatan kini turut tersenarai dalam ranking dunia itu.

Subjek seni dan reka bentuk kini telah memasuki kelompok 300 terbaik dunia sementara subjek pengurusan dan sains sosial tersenarai di tempat ke-383.

Kejuruteraan kimia berada di kedudukan 400 terbaik sementara perubatan di kedudukan 500 terbaik.

”Hampir semua fakulti di UCSI memiliki kursus yang mencapai status 500 terbaik dunia. Cemerlang dalam kualiti yang terbaik dan tahap pendidikan peringkat global sentiasa menjadi hasrat para akademik di UCSI.

”Pencapaian terkini UCSI yang diumumkan QS World Rankings 2022 mengikut Subjek adalah satu lagi bukti pengiktirafan seluruh dunia,” kata Naib Canselor UCSI, Professor Datuk Ir Ts Dr Siti Hamisah Tapsir.

Beliau berharap peningkatan ranking di peringkat dunia ini bakal mencipta peluang yang lebih baik untuk para pelajar UCSI di alam pekerjaan kelak.

”Ranking ini menandakan komitmen dan dedikasi kami terhadap pelajar dalam mengejar
kecemerlangan akademik. Kami berharap ranking ini akan mencipta peluang lebih baik
kepada graduan kami,” katanya.

Daripada tujuh disiplin yang tersenarai, 86% memperbaiki kedudukan, 14% mengekalkan
kedudukan dan tiada yang merekodkan penurunan.

Dalam Reputasi Akademik, pencapaian terbaik UCSI ialah seni persembahan (74.4). Bagi Reputasi Majikan, pencapaian terbaik universiti ialah seni persembahan dengan skor 98.1 dan dalam Pemetikan (citation) Kertas Penyelidikan, subjek pengurusan dan hospitaliti mendapat skor tertinggi (84.1).

Dalam Index-H pula, UCSI menerima skor 59.2 bagi subjek pengajian pengurusan dan perniagaan. – MalaysiaGazette