Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berucap pada Majlis Perasmian Hospital Al-Sultan Abdullah di UITM Puncak Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 23 JULAI 2022.

KUALA SELANGOR – Pembangunan Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang beroperasi pada 5 April tahun lepas dijangka berupaya meningkatkan mutu penjagaan kesihatan di negara ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, ia juga mampu menambah akses masyarakat setempat kepada perkhidmatan perubatan yang berkualiti yang melibatkan tiga juta penduduk di Selangor.

“Perasmian hospital ini merupakan manifestasi kepada kesungguhan kerajaan dalam memastikan ilmu dan disiplin bidang perubatan disebarluaskan capahannya kepada masyarakat setempat.

“Ia bertepatan dengan fokus strategik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam memacu kesejahteraan komuniti.

“KPT menekankan supaya universiti awam menggiatkan sumbangan beyond academics kepada komuniti,” katanya berucap di Dewan Auditorium, Hospital Al-Sultan Abdullah di Bandar Puncak Alam, di sini, hari ini.

Terdahulu Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Ri’ayatuddin Billah Shah dan Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandaridah Sultan Iskandar berkenan mencemar duli untuk merasmikan Hospital UiTM Puncak Alam.

Hospital 10 tingkat itu dilengkapi dengan 400 katil, 98 klinik pakar, 17 dewan bedah, 17 wad dan 16 kerusi dialisis.

Selain itu, hospital tersebut turut dilengkapi dengan kemudahan awam lain seperti surau dan bangunan penginapan untuk housemen serta jururawat.

Dalam pada itu, pembangunan hospital itu akan mewujudkan lagi peluang-peluang pekerjaan kepada komuniti sekitar fasiliti perubatan itu,

“Pembangunan hospital ini akan memberikan limpahan ekonomi dan menjana pendapatan rakyat dalam meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya. – MalaysiaGazette