Pemandu vios cedera ditumbuk selepas didakwa pandu melulu sehingga nyaris melanggar motosikal dalam kejadian di Bukit Tinggi Klang semalam.Ihsan IPD Klang Selatan

KLANG – Seorang lelaki ditumbuk selepas didakwa memandu keretanya secara melulu sehingga hampir melanggar sebuah motosikaldi hadapan sebuah restoran di Bandar Bukit Tinggi, Klang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang, Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dalam kejadian jam 8.15 malam semasa mangsa yang memandu kereta Toyota Vios masuk ke ruangan parkir di hadapan restoran tersebut secara melulu.

“Kereta dipandu mangsa didakwa hampir terlanggar sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki sebelum tercetus pertengkaran antara mereka di lokasi,” katanya kenyataan, hari ini.

Polis menerima laporan daripada mangsa yang berumur 19 tahun pada jam 10.48 malam hari kejadian.

Menurut Hoong Fong, pertengkaran menjadi tegang apabila seorang lelaki yang dipercayai abang kepada penunggang motosikal terbabit tiba di lokasi kejadian.

Tambah beliau, penunggang motosikal itu memegang baju dan menolak mangsa ke atas bonet kereta sebelum abangnya menumbuk beberapa kali di bahagian muka mangsa.

“Mangsa bertindak lari untuk menyelamatkan dirinya sebelum orang ramai yang berada di lokasi kejadian campur tangan dan meredakan pertelingkahan itu,” katanya.

Hoong Fong berkata, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kening dan siku sebelah kanan akibat ditumbuk.

Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

Jelas beliau, pihaknya telah selesai merakam keterangan daripada beberapa individu yang terlibat dalam kejadian itu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast