KUALA LUMPUR – Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) menyumbang sebanyak  15 perangkap harimau kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) dengan nilai keseluruhan RM225,000.

Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud berkata, perangkap jenis ‘Perangkap Wahab’ yang berharga RM15,000 setiap itu akan ditempatkan di kawasan-kawasan panas (hotspot) yang dikenal pasti oleh Perhilitan.

Ia merupakan inisiatif mengelak harimau belang khususnya daripada menjadi mangsa konflik manusia seterusnya terancam.

“Perangkap ini adalah jalan penyelesaian jangka pendek untuk menyelamatkan harimau belang yang populasinya kini hanya 150 ekor daripada terus menjadi mangsa konflik akibat serangan ke atas ternakan mahu pun manusia, aktiviti pemburuan haram,
dilanggar mati di atas jalan raya serta jangkitan penyakit seperti canine distemper virus,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, MPOGCF merupakan yayasan tunggal mewakili industri sawit Malaysia yang terlibat secara langsung dalam usaha memelihara dan memulihara Harimau Malaya yang menjadi agenda kebangsaan di bawah Pasukan Petugas bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTFF) yang ditubuhkan pada 2021.

Antara usaha sama lain yang dijalankan oleh MPOGCF dan Perhilitan berkaitan pemuliharaan harimau Malaya adalah melaksanakan Kajian Penentuan Profil Hormon Pembiakan Harimau Malaya.

Jelas beliau, semua usaha berkenaan membuktikan komitmen MPOGCF untuk melindungi harimau Malaya sebagai khazanah biodiversiti negara yang berharga.

“Kajian Genetics & Immunogenetics Assessment of Malayan Tiger; Sumbangan makanan tambahan untuk meningkat potensi pembiakan harimau Malaya dan bekerjasama mewujudkan makmal laparoskopik untuk program pembiakan berbantu (ART),” jelasnya.- MalaysiaGazette