seramai 35 pegawai dan anggotanya telah ditugaskan untuk membuat pemeriksaan serta rondaan di stesen minyak seluruh Kuala Lumpur. Foto Ihsan KPDN WPKL

KUALA LUMPUR – Selepas pengumuman harga diesel tanpa subsidi bermula semalam, sebanyak 62 buah stesen minyak di ibu negara telah diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Kuala Lumpur.

Pengarahnya, Ariffin Samsudi berkata, pihaknya tidak menemui sebarang aktiviti mencurigakan dan stok semasa bekalan diesel mencukupi bagi kesemua stesen minyak dan tiada berlakunya stock out.

“Secara keseluruhannya, pemilik stesen minyak menyambut baik pengumuman berdasarkan harga semasa pasaran dan akan memberikan kerjasama penuh dari semasa ke semasa kepada kerajaan.

“Manakala harga yang dipamerkan di stesen-stesen minyak adalah harga terbaru bagi diesel iaitu RM3.35 seliter selepas jam 12.00 tengah malam pada 10 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pegawai dan anggota KPDN WPKL melakukan pemeriksaan di stesen minyak di Kuala Lumpur. Foto Ihsan KPDN WPKL

Pada 9 dan 10 Jun lalu, seramai 35 pegawai dan anggotanya telah ditugaskan untuk membuat pemeriksaan serta rondaan di stesen minyak seluruh Kuala Lumpur.

Ariffin berkata, pemeriksaan itu bagi memastikan semua stesen minyak tidak menjual diesel melebihi harga kawalan sebelum pukul 12 tengah malam pada hari pelaksanaannya.

“Jika terdapat pengumuman perubahan harga bagi diesel oleh Kementerian Kewangan, pemeriksaan dan rondaan akan dilakukan oleh KPDN WPKL bagi memastikan semua stesen minyak tidak menyeleweng barang kawalan dengan mana-mana cara.

“Antaranya menutup stesen mintak, kehabisan bekalan minyak diesel, jualan bersyarat, elemen pam rosak, enggan menjual atau menyorok bekalan kawalan tersebut,” jelasnya.

Bagi kesalahan penyelewengan barang kawalan, tindakan penguatkuasaan dikenakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan peraturan-peraturan berkuat kuasa di bawahnya.

Selain itu, siasatan juga boleh dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasa dan Hasil daripda Aktiviti Haram 2001.

Terdahulu, Kementerian Kewangan mengumumkan perubahan harga diesel tanpa subsidi  iaitu RM3.35 seliter di semua stesen minyak di seluruh Semenanjung Malaysia bermula jam 12.00 malam pada 10 Jun. – MalaysiaGazette