Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Aktiviti berkaitan penyeludupan minyak diesel semakin berkurangan sejak pelarasan subsidi bahan api itu dilaksanakan kerajaan, baru-baru ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diperoleh berdasarkan dapatan yang dilakukan di lapangan sempadan negara.

“Berdasarkan dapatan, daripada pengamatan pasukan di lapangan menunjukkan beberapa aktiviti yang dipercayai berkait dengan penyeludupan semakin berkurangan terutama di kawasan sempadan di Semenanjung Malaysia.

“Dapatan waktu ini juga menunjukkan, di beberapa stesen minyak di Rantau Panjang (Kelantan) dan di Wang Kelian (Perlis), aktiviti terutama membeli minyak diesel berkurangan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selain itu, Fahmi berkata, Jemaah Menteri menerusi mesyuarat Kabinet hari ini memberi peringatan kepada sektor yang tidak menerima subsidi diesel atau tidak layak menerima subsidi berkenaan supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga.

Tegasnya, kerajaan menyerahkan perkara itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengambil tindakan tegas sekiranya ada pihak cuba mengambil kesempatan menaikkan harga.

“Kita meneliti kenyataan Menteri KPDN semalam mengenai sektor pembinaan yang rata-rata termasuk netizen memuat naik gambar surat atau pemakluman di mana mereka maklumkan beberapa produk atau perkhidmatan disediakan akan mengalami kenaikan kos atas dasar tidak lagi menerima subsidi diesel.

“Tapi, apabila disemak, mereka memang sebelum ini tidak layak menerima subsidi diesel.

“Jadi, semua perkara berbangkit ini, kita serahkan kepada KPDN untuk ambil tindakan tegas,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, mengenai isu sejumlah pengusaha van dan bas pelancong yang meminta supaya mereka turut diberikan subsidi diesel, Fahmi berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) diminta supaya menyantuni serta membantu kumpulan tersebut.

“Semasa mesyuarat Kabinet hari ini, Perdana Menteri meminta MOTAC meneliti supaya kumpulan ini bukan hanya disantuni tetapi dibantu, diteliti bentuk bantuan yang boleh diberikan.

“Bantuan itu mungkin tidak secara kekal, mungkin untuk tempoh tertentu, namun perkara lanjut serta mekanisme akan diumumkan oleh MOTAC,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Perdana Menteri meminta supaya isu berkaitan kad ‘fleet’ diteliti termasuk menyegerakan edaran kad berkenaan. – MalaysiaGazette