Para pelajar kolej 14 tidak hanya memfokuskan kepada penternakan arnab tetapi juga tanaman sawi, bayam dan juga kangkung.

SERDANG – Sekumpulan pelajar dari Kolej 14, Universiti Putra Malaysia (UPM), bijak mengambil peluang dengan menternak arnab dan menanam sayur untuk menjana pendapatan.

Pengetua kolej 14, UPM, Prof. Madya Dr. Mohamad Aris Mohd Moklas, berkata projek penternakan arnab dan penanaman sayur itu adalah untuk menyokong hasrat universiti dalam bidang pertanian.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa menyokong dan memberi bantuan kepada para pelajar kolej tersebut untuk memastikan aktiviti berkenaan dapat dilaksanakan.

Tambahan pula, projek penternakan arnab juga membuka ruang untuk para pelajar menjadi seorang penternak arnab dan juga seorang petani.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Haiwan dengan Kepujian, Fakulti Pertanian Muhammad Hasif Muhairi berkata, dia bersama rakan-rakan lain mula menjual arnab hidup sejak Disember 2023 untuk mencari pengalaman sebagai penternak dan juga seorang usahawan tani.

Pada awalnya, pelajar kolej 14 itu hanya membeli lima ekor arnab induk melibatkan tiga ekor betina dan dua ekor jantan spesies New Zealand white berharga RM25 seekor.

Kini, arnab-arnab yang dipelihara di dalam sebuah khemah, sudah membiak kepada 15 ekor dan dijual sebagai haiwan peliharaan dirumah.

Katanya, selain menjual arnab hidup mereka turut membuka mini zoo yang membolehkan kanak-kanak bermain serta memberi makanan kepada haiwan comel itu.

“Kami memilih arnab kerana modalnya tidak tinggi seperti penternakan lembu, kambing dan sebagainya.

“Jadi ini adalah satu sub sektor penternakan yang mudah dimulakan oleh kami sebagai anak-anak muda.

“Arnab boleh dipelihara dalam sangkar dan tidak memerlukan kawasan yang luas.

“Keadaan ini amat berbeza dengan penternakan ayam, lembu dan kambing yang memerlukan kawasan tanah yang besar dan memerlukan kos yang tinggi untuk menyediakan infrastruktur yang lengkap iaitu kandang, stor penyimpanan makanan dan sebagainya, ” katanya.

Namun katanya, penyakit kurap antara cabaran dalam mengusahakan ternakan itu.

Jelasnya, arnab yang menghidap penyakit kurap akan diasingkan sehingga sembuh dan dirawat oleh para pelajar dari Fakulti Perubatan Veterinar, UPM.

Sementara itu, penjanaan pendapatan tidak hanya tertumpu kepada penternakan arnab tetapi juga tanaman sawi, bayam dan juga kangkung.

Pelajar Bacelor Sains Pengurusan Perladangan dengan kepujian, Tamilarasan A/L E Nagarajan, berkata sayur-sayur yang dipilih adalah sayur yang mudah untuk dijaga dan selalu dimakan oleh masyarakat di Malaysia.- MalaysiaGazette