KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil langkah untuk memperkukuhkan lagi sistem rangkaian pembahagian sempena jangkaan penggunaan meningkat pada sambutan Hari Raya Aidiladha di Pantai Timur.

Antaranya, memperkukuh sistem voltan rendah (MSVR), meningkatkan kapasiti alatubah (ITC), mewujudkan pencawang baru khusus dilaksanakan melalui Ops Adha.

Menurut Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Mahathir Nor Ismail, sebanyak 323 inisiatif dikenal pasti untuk dilaksanakan merangkumi kerja menaiktaraf kapasiti alatubah pembahagian, membina pencawang baru dan projek pengukuhan sistem voltan rendah.

“Dari segi pembinaan pencawang elektrik, 114 lokasi untuk diwujudkan pencawang dikenal pasti. Daripada jumlah itu, 30 tapak telah diberikan kemasukan awal. Baki 84 tapak masih menghadapi isu tanah sekali gus memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk pemilik tanah dan pihak berkuasa bagi menyelesaikannya,” jelas beliau.

Pada masa sama, para pengguna dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika menggunakan peralatan elektrik termasuk memastikan semua soket dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai (adapter) berlebihan di samping mengamalkan bijak tenaga dengan mengunakan perkakasan cekap tenaga dan secara berhemah.

TNB juga menasihatkan pengguna untuk menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan TNB di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine untuk mendapatkan bantuan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik, ternampak kejanggalan atau mempunyai keraguan berkaitan pepasangan TNB. – MalaysiaGazette