Pelaksanaan subsidi bersasar oleh kerajaan dijangka akan merencatkan lagi aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan yang menggunakan kenderaan pikak pastinya membebankan kos pengurusan.- Gambar hiasan.

KUANTAN – Ketiadaan subsidi diesel kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan sejak pelaksanaan subsidi bersasar oleh kerajaan akan merencatkan lagi aktiviti NGO yang dijalankan bagi membantu rakyat yang memerlukan.

Setiausaha Agung Malaysian Relief Agency (MRA), Dr Shahrizal Azwan Samsudin berkata, ketiadaan subsidi bagi bahan api itu sekaligus boleh ‘mematikan’ aktiviti kebajikan yang menggunakan kenderaan pikap di lapangan ekoran tambahan kos pengurusan.

“Rata-rata pimpinan NGO telah menyuarakan pandangan mereka bahawa ketiadaan subsidi diesel kepada NGO tempatan akan meningkatkan kos pengurusan kerana urusan penghantaran barangan bantuan ke pendalaman dan juga kawasan kampung, menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan van.

“Pihak MRA memgambil maklum tindakan melaksanakan rasionalisasi subsidi bagi membendung ketirisan kewangan negara yang membawa penjimatan sehingga RM4 billion setahun.

“Penjimatan ini perlu kembali kepada rakyat dan salah satu caranya ialah melalui bantuan kepada komuniti terpinggir khususnya bantuan melalui NGO tempatan kepada kumpulan sasaran,” katanya dalam kenyataan.

Justeru pihaknya memohon pihak kerajaan menyediakan fleetcard bagi kegunaan NGO berdaftar menurut tata kelola yang telah ditetapkan.

Shahrizal Azuan turut mencadangkan pihak kerajaan boleh meminta NGO berdaftar dengan Budi Madani sebagai sebahagian daripada penerima subsidi.

“Saya percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku mantan pimpinan kepada NGO tempatan Malaysia dapat melihat dan mempertimbangkan perkara ini dari neraca pihak NGO,” ujarnya.

Walaupun NGO tidak di dalam majoriti industri pengguna diesel, namun dengan bantuan subsidi bersasar kepada NGO kemanusiaan akan memberi manfaat yang besar kepada komuniti penerima bantuan seperti golongan miskin, orang tua, anak yatim, Orang Asli dan Orang Kelainan Upaya.

Menteri Kewangan 11, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini berkata, kerajaan menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter di stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia bermula Isnin lalu.

Manakala harga runcit bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.

Melalui pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, kerajaan menetapkan harga diesel kepada sektor sektor yang layak iaitu Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 yang menggunakan kaedah ‘fleet card bagi kenderaan logistik berkelayakan untuk membendung kesan’ terhadap harga barangan pengguna ditetapkan pada harga RM2.15 seliter. – MalaysiaGazette