Joohari.

NIBONG TEBAL – Calon Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin beriltizam akan menjadi calon yang berakhlak tanpa merendahkan mana-mana pihak lain sepanjang berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Beliau yang juga bekas Pengarah Institut Aminudin Baki Cawangan Utara akan cuba memikul amanah yang diberikan kepadanya sebagai calon Perpaduan Sungai Bakap sebaik mungkin.

Tegasnya, pengalamannya sebagai warga pendidikan juga akan digunakan untuk membentuk semua anak didik mempunyai akhlak dan pemikiran yang baik.

“Jadi, itu antara yang saya tekankan supaya kita jadi orang baik, berakhlak dalam melaksanakan pekerjaan kita serta sebarang usaha untuk merendahkan pihak lain saya akan cuba jaga dan saya harap pihak sana (pihak lawan) sama juga (menjaga adab).

“Dulu saya bersara sebab nak berehat tetapi rupa-rupanya saya memulakan satu karier yang baru. Sehubungan itu, amanah yang diberi ini (menjadi calon) saya akan pikul sebaik mungkin.

Joohari diumumkan sebagai calon Perpaduan bagi PRK Sungai Bakap.

“Saya juga tekad bekerja lebih untuk rakyat (sekiranya diberi peluang menjadi wakil rakyat),” katanya kepada pemberita selepas majlis Pengumuman Calon Perpaduan di sini malam tadi.

Ketika diminta mengulas keyakinan untuk menang, Joohari berkata, kepimpinan perlu selari dengan pengikut yang sentiasa memberi sokongan padu sebagai suntikan kepada calon bertanding.

“Kita kena yakin (menang) tetapi saya percaya bahawa kepimpinan ini, ia bukan boleh berdiri sendiri. Kepimpinan dan pengikut mesti serentak.

“Bagi memastikan saya berjaya, pengikut kena beri sokongan yang cukup padu sebagai motivasi,” katanya.

Dalam pada itu, ketika dalam ucapan, Joohari menegaskan beliau adalah anak jati Sungai Bakap yang merantau menimba ilmu sebelum pulang menetap di Taman Ilmu di sini.

“Walaupun saya dilahirkan di Permatang Pasir di Permatang Pauh tetapi saya membesar di kampung nenek saya di Sungai Bakap dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap.

“Kemudian saya melanjutkan pelajaran di Penang Free School sebelum ke Sekolah Menengah Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar, Perak.

“Selepas itu, menyambung pengajian di Universiti Malaya (UM) dalam bidang Ekonomi dan Pengajian Islam (Ijazah Sarjana Muda) sebelum mengambil Diploma Pendidikan (DPLI) yang di situ bermula karier saya sebagai seorang guru yang saya merantau yang kini saya bersedia menjadi wakil rakyat jika dipilih,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon, manakala pengundian awal ditetapkan pada 2 Julai.

Kerusi DUN itu kosong susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut.

PRN Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. – MalaysiaGazette