Datuk Sivakumar Nadarajah

KUALA LUMPUR – Satu video seorang pendakwah Islam yang dipercayai menasihati seorang guru menukar agama kanak-kanak di bawah umur secara rahsia di sekolah dilihat tidak wajar.

Penaung dan Presiden Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK), Datuk N Sivakumar kecewa sekiranya benar ia berlaku.

“Sejak akhir-akhir ini, isu sensitif sering dipermainkan oleh sesiapa sahaja tanpa mengambilkira reaksi masyarakat umum.

“Persoalan saya, tidak kira agama, bangsa dan negara, apabila berucap dalam khalayak yang ramai mengapakah mereka tidak buat penyelidikan dan kajian sebelum mengeluarkan hujah mereka?

“Sudah terang lagi bersuluh, isu ini telah termaktub di bawah Perkara 12(4) iaitu agama seseorang yang berumur di bawah 18 tahun hendaklah diputuskan oleh ibu bapa atau penjaganya, itu juga keputusan mahkamah dalam kes Indira pada 2018, jadi kenapa buat provokasi?” soalnya.

Menurut Sivakumar, lebih menyedihkan apabila masih ada rakyat tidak mendukung hasrat Yang di-Pertuan Agong yang bertitah agar tidak ekstrem dalam memberikan pandangan berkenaan isu-isu agama dan perkauman.

“Saya menyeru agar ahli-ahli politik untuk bersuara demi memusnahkan kemaslahatan yang mendorong untuk musibah dalam keharmonian negara.

“Pihak berkuasa perlulah berganding bahu bagi membendung isu ini. Tidak perlu menunggu untuk mendapatkan aduan daripada rakyat jelata dan barulah bertindak. Sekiranya pihak berkuasa merasakan isu ini melibatkan isu 3R (Agama, Raja dan Kaum), perlulah bertindak segera,” ujarnya. – MalaysiaGazette