Datuk Zulkarnain Mahdar
Zulkarnain Mahdar. foto IQBAL BASRI, 17 OGOS 2017

KOTA KINABALU – Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal didakwa cuba memfitnah kerajaan negeri kononnya Sabah Development Bank Berhad (SD Bank) meminjamkan wang berbilion ringgit kepada syarikat berpangkalan di Semenanjung Malaysia.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar mendakwa Mohd Shafie dilihat berniat jahat dan cuba memesongkan fakta untuk menunjukkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah melakukan salah laku dalam tabdir urus negeri.

“Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun bagaimanapun telah menamatkan helah Mohd Shafie dengan penjelasan kemudahan sebanyak RM3.2 bililon telah diluluskan kepada Semenanjung dalam tempoh 2001-2019.

“Justeru, satu laporan polis akan dibuat ke atas Mohd Shafie kerana kenyataan berbaur fitnah untuk menunjukkan kononnya GRS telah melakukan salah laku sehingga membawa bencana kepada kewangan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan Mohd Shafie dalam ucapannya semasa sambutan Pesta Kaamatan Warisan di Penampang di sini menuduh GRS melalui SD Bank kononnya meminjamkan wang berbilion ringgit kepada syarikat yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia.

Menurut Zulkarnain, GRS yang ditubuhkan pada 2020 terpaksa memikul tugas untuk memperbetulkan kesilapan-kesilapan kerajaan sebelumnya setelah Warisan tumbang dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) lalu.

“Terdapat 20 akaun berjumlah kira-kira RM3.3 bilion yang diberikan SD Bank kepada peminjam Semenanjung Malaysia sejak 2001.

“Dari jumlah itu, 19 akaun tidak berbayar berjumlah kira-kira RM3.1 bilion. Baki akaun sebanyak RM100 juta telah diberikan dalam tempoh 2020 sehingga Mei 2024.

“Dapat dilihat bahawa tiada pinjaman baharu diberikan SD Bank kepada peminjam dari Semenanjung sejak kerajaan GRS mengambil alih,” katanya.

Zulkarnain juga mengingatkan Mohd Shafie semasa Warisan pada 2020, kerajaan pimpinannya meluluskan pinjaman kepada Air Asia Berhad berjumlah RM300 juta melalui SD Bank.

“Peliknya kelulusan tersebut dibuat semasa banyak syarikat berpangkalan di Sabah amat memerlukan bantuan kewangan akibat terjejas dengan Covid-19,” katanya.

“Pelan Transformasi SD Bank, Bahagian Syarikat Pengurusan Aset baharu yang disediakan sejak September 2023 akan mendapatkan semula pinjaman itu secara agresif dari Semenanjung Malaysia menjelang akhir 2026,” katanya.

Katanya lagi, istilah ah long yang disebut Shafie telah lama diguna pakai Masidi merujuk kepada keagresifan Kerajaan Negeri Sabah dalam menagih hutang khususnya cukai tertunggak.

“Mentaliti ah-long yang cekap diamalkan GRS terhadap pengelak cukai berjaya berkata mengutip semula RM5.4 bilion hasil Sabah pada 2021, RM6.9 bilion pada 2022 dan RM6.9 bilion pada 2023,” katanya lagi. – MalaysiaGazette