Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa penyasaran subsidi diesel tidak akan menyebabkan harga barang naik ternyata meleset, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional itu, kenyataan Anwar  salah sama sekali kerana sehari selepas kenaikan harga diesel kepada RM3.35 seliter, peniaga bertindak menaikkan harga barangan mereka.

“Anwar kata yang akan terjejas dengan penyasaran subsidi diesel hanyalah golongan maha kaya dan warga asing. Ini kerana subsidi diesel bersasar diberikan kepada kenderaan komersial tertentu untuk membendung kenaikan harga barang. Maka kononnya rakyat biasa takkan terjejas.

“Tak sampai beberapa hari subsidi diesel ditarik balik kita lihat syarikat penunda kenderaan menaikkan harga perkhidmatan mereka. Adakah golongan maha kaya saja yang kenderaan mereka rosak di tengah jalan? Kereta orang miskin tak rosak?” soanya lagi dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, harga sayuran  dan harga barang pembinaan juga turut didapati meningkat.

“Pengeluar konkrit juga menaikkan harga konkrit. Sudah pasti harga rumah akan meningkat selepas ini. Adakah golongan maha kaya saja yang beli rumah? Orang lain tak beli rumah?

“Saya tengok harga sayur-sayuran seperti timun, cili, sawi juga naik. Adakah golongan maha kaya saja makan sayur. Orang miskin tak makan sayur? Cakap dia kita tak boleh percaya,” kata bekas Perdana Menteri itu lagi.

Media sebelum ini melaporkan pemilik perniagaan sudah mula menaikkan harga barangan ekoran keputusan kerajaan membatalkan subsidi pukal diesel yang menyaksikan lonjakan kadar seliter daripada RM2.15 kepada RM3.35 sejak Isnin lalu.

Ada dalam kalangan mereka yang bertindak menaikkan harga barangan disebabkan syarikat yang menyediakan khidmat pengangkutan lori menaikkan caj sebanyak 25 peratus.

Kementerian Kewangan pada Ahad lalu mengumumkan  harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia kekal pada paras RM3.35 seliter manakala Sabah, Sarawak dan Labuan kekal dengan harga RM2.15 seliter bagi tempoh 13 hingga 19 Jun 2024.

Bagaimanapun, petrol bagi RON97 dan RON95 masing-masing kekal pada paras RM3.47 seliter serta RM2.05 seliter.

Menurut MOF, kerajaan akan terus memantau harga minyak mentah dunia bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara. – MalaysiaGazette