Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man telah menegaskan pendirian partinya tidak akan bersama Kerajaan Perpaduan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan disifatkan sebagai ‘senduk besa tak mengeyang yang mana hanya menabur janji tetapi tidak ditepati, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim berkata, sikap yang dipamerkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sama seperti Ketika Pakatan Harapan (PH) yang bertindak menabur janji-janji manis yang dilihat sukar untuk dilaksanakan.

“Bukan satu malahan berpuluh janji ini dizahirkan melalui ucapan dan dibukukan dalam buku manifesto pada saban kali pilihan raya diadakan yang akan dilaksanakan oleh mereka jika terpilih menjadi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terbaharu, kerajaan perpaduan mendakwa kenaikan harga diesel tidak dapat dielakkan demi menyelamatkan negara yang rugi akibat penyeludupan namun PH pernah mengkiritik tindakan kerajaan terdahalu yang bertindak menaikkan harga bahan api itu.

“Dipersembahkan angka bernilai berbilion untuk menakutkan rakyat bahawa langkah Kerajaan ini adalah tindakan yang betul. Penyeludupan yang berlaku ini sangat besar, kononnya.

“Jika benar ia berlaku sebesar itu, adakah ianya hanya dipandang sepi oleh pihak berkuasa? Tidakkah ini memberi gambaran bahawa sempadan negara ini sangat mudah dicerobohi? Selamatkah kita ketika ini? Apakah Kerajaan hanya mampu berdiam diri tanpa apa- apa tindakan,” kata Tuan Ibrahim lagi.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Amir Hamzah mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 12.01 tengah malam.

Beliau berkata, ia adalah harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Automatic Pricing Mechanism.

Tuan Ibrahim berkata, sekiranya alasan kerajaan menaikkan harga diesel untuk mencegah penyeludupan, yang perlu diambil perhatian adalah meningkatkan penguatkuasaan serta menekan dan menangkap para penyeludup yang mengkhianati negara dan bukannya dengan menaikkan harga bahan api itu.

“Bagi meredakan amarah dan keresahan rakyat, maka kerajaan menjanjikan suatu yang agak luar biasa, iaitu menjamin tiada kenaikan harga barangan.

“Tidak perlu kepada pakar ekonomi, pesawah yang mengusahakan sawah pun tahu bahawa kenaikan harga diesel bakal memberi kesan domino kepada kos sara diri rakyat. Belum pun sempat seminggu, kita sudah dengar keluhan rakyat akibat kenaikan harga barangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here