Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

AMPANG – Seorang lelaki disyaki kurang siuman yang merosakkan tombol pintu rumah seorang anggota tentera ditahan polis Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian dilaporkan berlaku di sebuah kondominium di Jalan Persiaran Ampang Ukay, di sini.

Katanya, sekitar jam 9 malam pada Khamis lalu, polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan yang berkhidmat sebagai anggota tentera mengenai insiden itu.

“Pengadu membuat laporan mengatakan dia dimaklumkan oleh pengawal keselamatan bahawa tombol pintu rumahnya kemek dan rosak akibat perbuatan khianat seorang lelaki yang juga penghuni kondominium berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Azam, suspek berusia 35 tahun berjaya ditangkap pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya di kawasan Jalan Persiaran Ampang Ukay, Ampang sekitar jam 10.15 malam.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek merupakan seorang penganggur, disyaki mengalami masalah mental dan memiliki satu rekod jenayah lampau.

Turut dirampas sebatang besi bagi membantu siasatan.

sebelum merampas satu batang besi bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, suspek direman seminggu sehingga hari ini dan telah disambung tempoh reman sehingga 21 Jun ini bagi membantu siasatan lanjut kes tersebut.

Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan perbuatan kianat yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau keduanya jika disabitkan kesalahan.-MalaysiaGazette