Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berucap pada majlis perasmian kilang Chery’s ketika di kilang Chery Corporate Malaysia, Taman Perindustrian Subang, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 18 JUN 2024.

SHAH ALAM – Malaysia dan China akan memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan ekonomi dan perdagangan esok sempena Lawatan premier Republik Rakyat China, Li Qiang ke Malaysia bermula hari ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata MoU tersebut merupakan kerjasama antara kerajaan dengan kerajaan (G To G) kedua-dua negara yang melibatkan jumlah dagangan hampir AS$100 billion.

“Kita akan ada dua MoU, salah satunya ialah untuk perdagangan dari segi dagangan dan digital. Keduanya dari segi untuk mengukuhkan hubungan selama lima tahun kerana negara China merupakan rakan dagangan utama negara kita,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan kilang Chery Corporate Malaysia, di sini hari ini.

Menurut beliau, Malaysia dan China juga melihat potensi pelaburan dua hala dalam sektor automotif, penerbangan dan ekonomi digital akan datang.

“Tadi bersama Menteri Industri dari China kita ada berbincang perkembangan automotif di sana.

“Beliau mengatakan banyak syarikat dari sektor itu berminat contohnya Chery.  Dalam masa, yang sama beliau menyentuh pelan perdagangan penerbangan di negara ini dan menjemput Malaysia melihat potensi pelaburan dalam sektor ini (automotif, penerbangan dan ekonomi digital),” katanya lagi.

Li Qiang tiba di Malaysia hari ini bagi lawatan rasmi pertamanya.

Lawatan tersebut bagi membincangkan hubungan dua hala antara dua negara.

Selain itu, Li Qiang juga akan dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Menurut Tengku Zafrul, kedua-dua pemimpin juga akan menghadiri majlis upacara pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Gombak dan makan tengah hari bersama komuniti perniagaan dari kedua-dua negara.-MalaysiaGazette