Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Komitmen Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam  memberi kerjasama termasuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan ke penyelewengan penukaran hak milik tanah rizab Melayu di negeri itu amat dialu-alukan.

Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, kenyataan Saarani sebenarnya memberi kelegaan dan harapan kepada rata-rata mangsa ketika ini.

Katanya, MHO sudah berjuang isu penipuan tanah rizab sejak tahun lepas terutamanya berhubung Tanah Rizab Melayu (TRM) seluas 649.2 hektar yang dipertikaikan di Sitiawan, Manjung, Perak.

Kata Hishamuddin, ketika ini pihaknya sudah mencadangkan supaya ianya dilucutkan hak dan dilupuskan kepada kerajaan Persekutuan.

“Sudah termaktub bawah perundangan negara kerana pindah milik lot rizab Melayu itu kepada individu bukan Melayu tersebut berlaku akibat daripada aktiviti penipuan haram.

“MHO telah dimaklumkan oleh pengadu-pengadu yang terlibat dengan isu tanah rizab Melayu ini, di mana mereka telah menyatakan bahawa tanah yang dipertikaikan tersebut adalah masih dipegang dan dimiliki oleh individu bukan Melayu.

“Kita juga dapat tahu Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak hanya memasukkan kaveat pendaftar ke atas tanah tersebut tanpa ada sebarang tindakan yang lanjut dari mereka berkenaan perkara ini, pastinya kenyataan Menteri Besar Perak baru-baru ini amat melegakan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kata beliau, sememangya MHO menaruh harapan tinggi komitmen dan kesungguhan Saarani pastinya akan membawa kepada penyelesaian isu yang telah banyak menghantui pengadu untuk sekian lama.

Sebelum ini kata Saarani, beliau yang juga salah seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak ketika kejadian pada 2012 menjelaskan se­hingga kini masih belum me­nerima sebarang panggilan daripada agensi tersebut berkaitan kes tersebut.

“Saya tidak tahu bila kes seleweng tanah rizab Melayu tetapi saya menjadi Exco dalam tempoh itu, saya menjadi Exco bermula 2004 hingga 2008, sebelum terhenti seketika dan kemudian, dilantik semula dari 2019 hingga 2018. Jika berlaku pada masa itu, saya sedia beri kerjasama,” kata Saarani baru-baru ini.

Beberapa hari lepas, SPRM mendedahkan pihaknya akan memanggil beberapa ahli MMK Negeri Perak bagi membantu siasatan berkaitan penukaran hak milik tanah rizab Melayu di Sitiawan, dekat sini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, ahli-ahli MMK yang akan dipanggil itu merupakan mereka yang berkhidmat ketika penukaran status tanah tersebut berlaku.

Selain itu, SPRM turut dilaporkan akan memanggil beberapa saksi lain terutama kakitangan PTG Perak. -MalaysiaGazette