GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang mempersiapkan kira-kira 1,000 pegawai dan anggota bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap tidak lama lagi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya telah bersiap sedia pada tahap tertinggi daripada pelbagai aspek dalam usaha memastikan kelancaran perjalanan PRK berkenaan.

“Kita juga telah mengenal pasti ada beberapa kawasan panas (di DUN Sungai Bakap) dan masih dalam mengenal pasti hotspot-hotspot lain untuk diberi perhatian.

“Pada hari pengundian, kita jangka akan letakkan lebih 700 keanggotan dan hampir 1,000 dipersiap untuk sepanjang tempoh PRK,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau menambah, polis akan memastikan orang ramai untuk turun mengundi pada hari pengundian dalam keadaan selamat tanpa sebarang keraguan dan ketakutan.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan ekoran kematian penyandangnya daripada Perikatan Nasional (PN), Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu selepas mengalami keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan caloi PH, Nurhidayah Che Rose dengan memperoleh majoriti 1,563 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 22 Jun.

Pengundian awal akan diadakan pada 2 Julai dan hari pengundian ditetapkan pada 6 Julai. – MalaysiaGazette