Mangsa Ng Yong Ching, 33, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC maut ditempat kejadian.

MELAKA – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah motosikal lain yang keluar simpang secara melulu di Jalan Tun Fatimah, Malim di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mangsa, Ng Yong Ching, 33, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, seorang lagi lelaki berusia 59 tahun yang menunggang motosikal jenis Benelli pula patah kaki kanan.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa bergerak lurus di lorong kanan dari arah Malim menuju ke Taman Merdeka.

“Pada masa sama, sebuah motosikal Benelli keluar simpang dari arah sebelah kiri sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Christpher, nahas mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian manakala juru x-ray berusia 59 tahun itu patah kaki kanan dan dirawat di zon kuning Hospital Melaka.

Siasatan mendapati kemalangan itu berpunca daripada sikap penunggang motosikal Benelli yang keluar simpang secara melulu tanpa melihat kenderaan lain di lorong kanan.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette