Hamzah.

NIBONG TEBAL – Satu pasukan khas ditubuhkan Polis Pulau Pinang bagi memantau isu berkaitan agama, bangsa dan raja (3R) yang ditimbulkan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, isu berkaitan 3R sememangnya diberikan perhatian khusus oleh pihak polis dalam memastikan proses demokrasi berjalan lancar.

“Kita telah mengadakan perjumpaan dengan wakil calon (yang bertanding PRK) untuk memaklumkan apa perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang kempen,ceramah berlangsung terutamanya berkaitan isu 3R.

“Selain ada pasukan khas memantau, kita juga minta kerjasama parti bertanding untuk mematuhi peraturan ditetapkan seperti yang telah dipersetuju sebelum ini.

“Justeru, kita nasihatkan setiap parti politik dan penyokong agar tidak menyentuh isu 3R dalam kempen bagi meraih sokongan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Hamzah berkata, parti yang bertanding juga diminta untuk memohon permit lebih awal supaya polis dapat mengawal dan menyelia ceramah atau perhimpunan bagi tujuan keselamatan.

“Setakat ini, kita baru terima satu sahaja yang memohon (permit) dan ia dijangka bertambah selepas penamaan calon,” katanya.

Terdahulu, PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here