Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bercakap pada media berkenaan penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 22 JUN 2024

NIBONG TEBAL – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengingatkan pihak tertentu agar tidak menggunakan isu BlackRock sebagai presepsi untuk menghasut rakyat.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan turut menyifatkan tindakan pihak tersebut bermatlamatkan politik sempit sekali gus tidak mahu melihat penstrukturan semula yang memberi banyak kepentingan buat Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB).

Tegasnya, kenyataan mengaitkan BlackRock dalam isu ini berniat jahat dan fitnah kerana Global Infrastructure Partners (GIP) telah maklumkan BlackRock tidak sama sekali terlibat dalam sebarang transaksi berhubung penstrukturan semula MAHB.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah nyatakan jangan politikkan isu ini.. jadi jangan cuba membuat satu presepsi yang tidak betul atau jahat.

“BlackRock tiada kaitan secara langsung dengan perbincangan di antara MAHB dengan GIP. Mereka yang cuba mengaitkan kedua-dua ini jelas mahu merosakkan perancangan serta tidak mahu melihat lapangan terbang dalam negara dimajukan.

“Kita perlu ubah pemikiran tentang isu ini untuk meletakkan semua lapangan terbang dalam negara pada satu kedudukan yang boleh bersaing seperti lapangan terbang Changi di Singapura,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Fahmi meninjau pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi di sini.

Tambah Fahmi, mantan perdana menteri pernah menjemput BlackRock untuk melabur namun kini beliau antara yang mempertikaikan tindakan kerajaan dalam isu MAHB.

“Ada pihak yang tiba-tiba terpaling anti BlackRock dan bila kita buat penelitian ada dalam kalangan mereka yang jadi duta air berkarbonat sedangkan bila disiasat BlackRock juga pemegang saham syarikat tersebut,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas wujud percanggahan pendapat antara komponen kerajaan Perpaduan dalam isu BlackRock, Fahmi berkata, ia tiada masalah kerana perdana menteri sendiri terbuka dalam menerima pandangan bila perkara itu menyentuh isu dasar.

“Sebelum ini ada kerisauan tapi telah dibuktikan tidak berasas kerana BlackRock tidak akan mempunyai saham MAHB,” katanya.

Media semalam melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan semua pihak khususnya pembangkang supaya tidak menjadikan isu penyertaan syarikat BlackRock dalam penstrukturan semula kepentingan Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) sebagai ‘wayang politik’.

Beliau berkata, mana-mana pihak berhak untuk tidak bersetuju dengan kerajaan, namun pada masa sama tidak boleh menafikan usaha kerajaan di dalam menyuarakan isu di Gaza. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here