Penolong Pengurus SPR, Syamsul Fitry mengumumkan proses penerimaan borang calon PRK Sungai Bakap telah tamat jam 10 pagi.

NIBONG TEBAL – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang bermula 9 pagi tadi selesai apabila pusat berkenaan ditutup secara rasminya pada jam 10 pagi ini.

Hanya calon mewakili Kerajaan Perpaduan menerusi Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), Joohari Ariffin, 60, dan Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail, 56, mewakili Perikatan Nasional (PN) dilihat menghantar borang penamaan.

Penolong Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Syamsul Fitry Ahmad mengumumkan proses penerimaan borang calon bagi PRK itu tamat.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pengumuman rasmi dibuat SPR berhubung jumlah calon yang sah bertanding untuk PRK Sungai Bakap.

Terdahulu, Joohari tiba jam 8.40 pagi manakala Abidin jam 8.50 pagi dan masing-masing diiringi pemimpin gabungan parti masing-masing.

Media sebelum ini melaporkan seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Julai ini bagi tarikh mengundi awal dan 6 Julai sebagai hari mengundi.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here