Dzulkefly.

NIBONG TEBAL – Pesakit yang sedang mendapatkan rawatan kesihatan di hospital boleh keluar menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia tertakluk kepada kebenaran pegawai perubatan selepas menilai status kesihatan pesakit tersebut.

“Kalau petugas kesihatan ataupun kakitangan hospital seluruhnya, mereka boleh mengundi.

“Bagi pesakit, penilaian akan dibuat oleh doktor dari sudut risiko. Saya yakin, mereka boleh dengar pandangan doktor dan diuruskan bagi melunaskan hak untuk mengundi.

“Maksudnya tiada halanganlah,” katanya ketika diminta mengulas kemudahan kepada pesakit di wad untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke Hospital Sungai Bakap, di sini, bagi meneliti perkembangan cadangan bangunan hospital baharu yang telah dibincangkan pada Ogos tahun lalu.

“Lawatan ini bukan gula-gula PRK sebaliknya,  perancangan ini sudah dibuat tahun lepas tambahan pula hospital ini sudah berusia 130 tahun.

“Saya dimaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang telah mengenal pasti tapak yang sesuai dan sedang menguruskan proses berikutnya iaitu permohonan pemberimilikan lot tanah tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here