Calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin bercakap pada sidang media semasa sesi Ramah Mesra bersama Media Arus Perdana di Pusat Nadi Sungai Bakap, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 23 JUN 2024.

NIBONG TEBAL – Calon Pakatan Harapan (PH) yakin mampu meraih sokongan daripada pengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Joohari Ariffin berkata, ia susulan parti itu kini merupakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga bekas Pengarah Institut Aminudin Baki Cawangan Utara berkata, pihaknya yakin kerjasama baik yang ditunjukkan BN khususnya UMNO akan menjadi faktor kemenangan kerajaan Perpaduan.

“Kita kena lihat di mana BN sekarang..di belah (komponen parti) kerajaan Perpaduan dan sudah semestinya mereka mempunyai data siapakah pengundi mereka.

“Selain pemimpin tertinggi parti (BN) mengadakan perjumpaan untuk mengembleng tenaga bersama memenangkan saya di sini banyak jentera parti turut menyatakan sokongan mereka kepada cikgu Joohari iaitu saya.

“Bukan nak takbur tapi saya yakin selaku calon Perpaduan kita mampu mengambil alih semula DUN Sungai Bakap ini,” katanya kepada pemberita pada sesi ramah mesra bersama media di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di sini hari ini.

Calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin bercakap pada sidang media semasa sesi Ramah Mesra bersama Media Arus Perdana di Pusat Nadi Sungai Bakap, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 23 JUN 2024.

Terdahulu, tular dakwaan penyokong BN cenderung memilih calon PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 pada Ogos tahun lalu.

Media semalam melaporkan, UMNO akan berusaha menarik seramai mungkin pengundi ‘putihnya’ termasuk ahli parti itu bagi memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) Joohari Ariffin.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya juga akan memastikan tiada boikot daripada ahli parti itu kepada calon terbabit selepas gabungan itu tidak bertanding di kerusi berkenaan.

“Terdapat lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan UMNO mempunyai ahli yang menjadi pengundi berjumlah 5,105 orang. Jadi, tumpuan kita ialah pengundi UMNO di samping kita cuba menarik pengundi Melayu untuk mengundi calon (kerajaan Perpaduan).

“Kita akan cuba sedaya upaya untuk memaksimumkan usaha untuk (memastikan pengundi putih UMNO keluar mengundi), jika boleh sejumlah besar yang mengundi,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here