Datuk Ewon Benedick.

JOHOR BAHRU – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui pelbagai agensinya menyalurkan pembiayaan berjumlah RM272.6 juta kepada 13,091 usahawan di Johor dari Januari hingga Mei tahun ini.

Menterinya Ewon Benedick berkata daripada jumlah itu, RM81.5 juta disalurkan kepada 10,672 Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan RM41.8 juta kepada 2,083 usahawan Tekun Nasional.

“Bank Rakyat telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM57.3 juta kepada 297 usahawan, SME (Corporation Malaysia) telah meluluskan pembiayaan RM91.4 juta kepada 37 usahawan manakala Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) turut meluluskan pembiayaan francais kepada dua syarikat berjumlah RM660,000,” katanya di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika berucap bagi menutup pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Wilayah Selatan dan Festival Keusahawanan Maju Johor 2024.

Mengenai pameran SDSI Wilayah Selatan, beliau berkata jualan tunai berjumlah RM1.13 juta berjaya dicatatkan sepanjang tiga hari penganjurannya bermula 21 Jun, mengatasi sasaran awal pada RM1 juta.

Potensi jualan RM9.22 juta, potensi pembiayaan bernilai RM23.9 juta dan potensi padanan perniagaan RM17 juta juga berjaya direkodkan sepanjang program itu, katanya.

Ewon berkata program itu merupakan inisiatif kementerian untuk mewujudkan ekosistem keusahawanan yang inklusif kepada perusahaan SDSI dan juga usahawan setempat.

“Pameran SDSI juga menyediakan platform pengkomersialan menerusi pameran dan jualan produk bercirikan sesebuah daerah.

“Selain itu, usahawan akan turut didedahkan kepada program latihan dan diberikan akses kepada peluang pembiayaan yang ditawarkan oleh KUSKOP serta agensinya,” katanya.

Beliau berkata pameran itu bertujuan memberikan pendedahan dan pendidikan kepada umum bahawa produk SDSI berpotensi tinggi untuk menembusi pasaran luar.

“KUSKOP berharap produk ini bukan sahaja ‘jaguh’ di rantau ini malah juga mendapat tempat dan permintaan tinggi di peringkat antarabangsa,” katanya.

KUSKOP turut membawakan program BIAYA menerusi program itu, dengan agensi pembiaya awam, swasta dan alternatif berada di bawah satu bumbung untuk membantu usahawan memilih produk pembiayaan yang bersesuaian dengan keperluan mereka, katanya.

Ewon berkata kerajaan juga bersetuju dengan hala tuju baharu program SDSI bagi membangunkan program yang lebih holistik selepas mengambil kira ekosistem keusahawanan serta diselaraskan dengan agenda pembangunan nasional.

“Ini merupakan langkah kerajaan dalam membantu ekonomi masyarakat desa hingga ke peringkat nasional yang selari dengan dasar pembangunan luar bandar secara bersepadu.

“Kerajaan telah mengorak langkah untuk menggalakkan penduduk desa menghasilkan sumber ekonomi sendiri dari kawasan desa yang memenuhi keperluan industri serta mampu menembusi pasaran yang lebih besar,” katanya.

Pada majlis itu, Ewon turut menyerahkan cek pembiayaan perniagaan dengan jumlah keseluruhan RM25.736 juta kepada 389 usahawan.

Beliau turut meyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Glohex Group Sdn Bhd dan Perbadanan Usahawan Negeri Johor Sdn Bhd (PUJB) bagi membangunkan industri halal negeri. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here