Empat lelaki Bangladesh antara lima ditahan bantu siasatan culik rakan senegara.

GEORGE TOWN – Polis menahan lima warga asing termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes culik dan peras ugut lelaki warga Bangladesh di Shah Alam, Selangor semalam.

Mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki Bangladesh dan seorang wanita Myanmar berusia lingkungan 23 hingga 37 tahun.

Difahamkan, dalang kumpulan tersebut berusia 30 tahun manakala wanita itu pula merupakan kekasih kepada salah seorang suspek tersebut.

Wanita Myanmar yang juga kekasih kepada salah seorang suspek turut ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penculikan mangsa berusia 32 tahun itu daripada bapanya pada Jumaat lalu.

Jelas beliau, bapa mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci di negeri ini mendakwa menerima satu rakaman video daripada isteri mangsa di Bangladesh yang menunjukkan anaknya diculik kenalannya selain meminta wang RM200,000 sebagai tebusan.

“Suspek turut mengugut akan membunuh mangsa sekiranya keluarga gagal memberi wang yang diminta mereka.

“Susulan itu, keluarga mangsa memasukan sejumlah wang ke dalam akaun bank diberikan suspek.

“Bertindak atas laporan dan risikan, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut serta dibantu Bukit Aman melakukan serbuan di ibu negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, serbuan pertama dibuat di Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang membawa kepada tangkapan dua lelaki.

“Bertindak atas maklumat dua suspek itu, pihak polis menyerbu sebuah rumah di Shah Alam dan berjaya menyelamatkan mangsa.

“Kita turut menahan dua lelaki dan seorang wanita di serbuan kedua.

“Kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here