Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan melakukan operasi pembenihan awan (OPA) di Kelantan hari Ini. Kredit foto: FB YBM Menteri

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memulakan operasi pembenihan awan (OPA) di Kelantan hari ini bagi tujuan meningkatkan paras air Sungai Kelantan supaya dapat mengairi kawasan pertanian  terjejas.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), KPKM, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Operasi ini bertujuan untuk meningkatkan paras air Sungai Kelantan agar dapat mengairi kawasan-kawasan pertanian yang terjejas ketika ini.

“OPA merupakan satu proses untuk menggalakkan pembentukan awan hujan. Terdapat dua kaedah yang digunakan dalam OPA, iaitu pembenihan basah dan pembenihan kering.

“Pada pembenihan basah, larutan air garam dicampur dan disemprotkan ke awan untuk merangsang pembentukan titisan hujan. Manakala pada pembenihan kering, serbuk garam diterbangkan ke awan untuk tujuan yang sama,” katanya dalam Facebook rasmi beliau hari ini.

Mohamad Sabu juga melahirkan harapan tinggi supaya inisiatif dari Kerajaan Persekutuan ini dapat membantu para petani dan pesawah yang terjejas ketika ini.

Jumaat lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  sudah meluluskan penggunaan dana Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) sebanyak RM5 juta bagi menjayakan OPA.

“OPA adalah tindakan awal dilakukan Kerajaan Persekutuan bagi mengatasi penyusutan air Sungai Kelantan dan menangani impak fenomena cuaca panas serta Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September 2024.

“Taburan hujan yang rendah dicatatkan bermula Februari hingga April tahun ini menyumbang kepada penyusutan paras air Sungai Kelantan serta mengganggu operasi pam di seluruh Kawasan KADA,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here