Donald Trump. foto Agensi

WASHINGTON – Bekas presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Sabtu mendakwa beliau telah memutuskan calon gandingannya bagi pilihan raya presiden AS yang berlangsung pada November,  lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Ketika menjawab soalan pemberita mengenai calon gandingannya semasa berkempen di Philadelphia pada Sabtu Trump berkata beliau belum memaklumkan kepada sesiapa mengenainya.

Beliau terlebih dahulu singgah di sebuah restoran stik, di mana beliau disambut meriah oleh penyokong selain menjawab beberapa soalan wartawan.

Trump dan penyandang presiden, Joe Biden hampir pasti bertembung pada 5 Nov ini setelah mendapat pencalonan mencukupi daripada perwakilan parti masing-masing dalam pertandingan ulangan pilihan raya Presiden 2020.

Biden, 81, bergandingan dengan Naib Presiden semasa, Kamala Harris, yang seperti beliau bergelut dengan penilaian populariti yang rendah.

Trump, 78, telah membiarkan spekulasi tersebar selama berbulan-bulan mengenai siapa yang akan dipilih sebagai calon gandingannya.

Sebelum lawatannya ke negeri Pennsylvania itu, Trump berkempen untuk mendapatkan undi semasa mesyuarat penganut Kristian Evangelis yang berpengaruh secara politik di ibu negara AS, Washington.

Sementara itu, Biden menghabiskan hujung minggu di Camp David berhampiran Washington sebagai persiapan menghadapi debat pertama antara beliau dan Trump yang dijadualkan pada Khamis.

Pencalonan Trump masih belum rasmi sehingga Konvensyen Parti Republikan di Milwaukee, Wisconsin, pada Julai manakala Parti Demokrat akan secara rasmi memilih calon mereka di Chicago pada Ogos. – BERNAMA-SPUTNIK

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here