TOPIK perbualan mengenai teknologi AI hangat diperkatakan di platform TV, radio, media arus perdana, media sosial dan lain-lain.

Ia bagaikan sebuah fenomena yang seringkali dibincangkan oleh pelbagai lapisan masyarakat baik pemimpin negara, institusi pendidikan, pihak industri dan apa jua sektor.

Tidak dinafikan perkembangan arus pemodenan masa kini membuatkan gelombang penyebaran maklumat begitu pantas khususnya penduduk bandar yang mempunyai pelbagai kemudahan termasuk liputan internet yang pantas seperti rangkaian 5G.

Kecanggihan teknologi AI dikatakan mampu memberi impak baik dalam kehidupan seharian tidak kira samada bagi pengurusan pekerjaan, penyelesaian tugasan mahupun diaplikasi pada pelbagai medium.

Umum mengetahui bahawa kecerdasan AI berupaya menggantikan sebahagian daripada pekerjaan yang dilakukan manusia dengan menyiapkan sesuatu tugasan dengan lebih cepat, mudah dan menarik.

Sebagai contoh, lakaran grafik yang diperlukan bagi menggambarkan pemandangan perkampungan tradisional melayu boleh dihasilkan dengan hanya memasukkan ‘command’ yang ringkas pada aplikasi AI dan ia mampu menghasilkan lakaran itu dalam hanya beberapa saat berbanding lakaran yang dihasilkan oleh pelukis.

Kecerdasan AI juga dijangka mengubah gaya hidup manusia serta memberi lonjakan baharu kaedah berfikir dan juga pelaksanaan dalam setiap tindakan membabitkan pendidikan, perusahaan, pembuatan, khidmat nasihat, selain mampu memproses data dalam membuat sesuatu padanan keputusan.

Walaupun terdapat segelintir masyarakat yang khuatir akan ancaman teknologi AI terhadap pekerjaan yang dilakukan ketika ini, namun setiap orang perlu bersiap siaga dalammendepani era perubahan dan mencari peluang dari sudut pandang yang lain bagi memanfaatkan teknologi AI dalam menjana pendapatan.

Perkembangan teknologi AI di Malaysia dilaporkan mengalami peningkatan ketara dalam membangunkan pendidikan menerusi Pendidikan Abad ke-21 melalui kreativiti, pemikiran kritis dan juga penyelesaian masalah.

AI juga berupaya menjadikan pengalaman pengajaran dan pembelajaran lebih menyeronokkan dengan gabungan aplikasi internet of thing (IoT) seperti robotik, programming dan secara tidak langsung ia menarik minat pelajar untuk mempelajari ilmu berkaitan bidang STEM dan juga menyumbang kepada perkembangan STI.

Di sebalik kecanggihan teknologi itu, adakah ia diterima masyarakat luar bandar? Jika diamati, penyebaran maklumat mutakhir ini memerlukan capaian internet, dan kemudahan itu adakalanya terganggu khususnya di kawasan luar bandar serta pedalaman.

Keadaan itu sedikit sebanyak menyumbang kepada jurang perkembangan masyarakat luar bandar berbanding penduduk di bandar-bandar utama.

Namun, inisiatif kerajaan memperkenalkan kecanggihan AI kepada masyarakat menerusi kerjasama dengan Intel Malaysia harus mendapat pujian sebagai langkah awal menangani jurang antara penduduk bandar dan juga luar bandar.

“The Economy Impact Of Generative AI: The Future of Work In Malaysia” melaporkan bahawa teknologi AI Generatif berpotensi menyumbang nilai US$113.4 bilion dalam ekonomi Malaysia sekiranya kecanggihan itu diaplikasi merentasi semua industri.

Perdana Menteri turut memberi cerminan bahawa pentadbirannya juga akan memberi keutamaan penerapan teknologi AI dalam pembangunan Malaysia menerusi sasaran sebanyak 900 syarikat pemula AI dalam melahirkan lebih 10,000 tenaga kerja baharu disamping pelancaran Hala Tuju Bakat AI Malaysia 2024-2030 baru-baru ini.

Perkembangan teknologi AI bukan sahaja mengangkat taraf kehidupan, malah ia turut menjadikan negara lebih kompetitif serta seiiring dengan negara-negara maju.

Amirul Salam Hasan
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here