Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 09 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Hasrat Malaysia untuk menyertai kumpulan ekonomi BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) tidak bertentangan dengan dasar luar negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai negara yang bebas dan merdeka, Malaysia sedia untuk menjalinkan hubungan dengan semua pihak, apatah lagi kemunculan kekuatan ekonomi baharu ketika ini.

“Sebenarnya dia tidak sangat bertentangan dengan dasar luar kita, kita mengambil pendekatan sebagai negara yang bebas dan merdeka, untuk menjalin hubungan dengan semua pihak.

“Sebab itu saya katakan, kita akan terus dengan APECS dan juga CTPPP yang telah pun dimeterai oleh pentadbiran kerajaan sebelum ini.

“Tetapi kita juga lihat kenyataan, ekonomi sekarang di mana kekuatan ekonomi tidak lagi unipolar, bergantung kepada satu negara besar Amerika Syarikat, tapi telah muncul kekuatan-kekuatan baharu termasuk China, India dan lain-lain,” katanya pada sesi soal jawab menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu Dr Halimah Ali (PN-Kapar) bertanyakan faktor utama menyebabkan perubahan pendirian negara memandangkan keputusan ini perkara yang besar melibatkan dasar luar negara.

Perdana Menteri berkata, penyertaan Malaysia ke dalam BRICS ini bukan satu masalah kepada negara, apatah lagi negara-negara yang menyertai blok ekonomi ini juga mempunyai hubungan dagang yang baik dengan Eropah, Amerika Syarikat dan negara-negara lain.

“Ini satu perkembangan dan masa sekarang nampak menuntut kita menjamin jaringan supaya kepentingan dagangan kita, bagi saya penting sekali ialah perdagangan, pelaburan dan ekonomi negara kita.

“Mengapa kita harus terikat dengan satu blok, sekarang bila ada perkembangan wujud satu blok baharu yang akan memberikan saingan dan bidang kerjasama, kita juga terus menjalin hubungan dengan kedua-dua, kalau boleh ketiga dan keempat.

“Sebab itu bila saya katakan Indonesia dan Thailand memaklumkan minat dan malah mereka telah bersama memohon untuk OECD, kita pun ambil sikap dan pendekatan yang sama, selatan global, Eropah dan Amerika Syarikat,” katanya. – MalaysiaGazette