Kerosakan bilik darjah akibat kejadian ribut pada 19 Mei lepas di Sekolah Kebangsaan Setapak, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 22 MEI 2023.

SEKOLAH-sekolah di seluruh negara merupakan institusi pendidikan penting yang memainkan peranan utama dalam pembentukan generasi masa depan. Pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif dalam mencapai objektif berkenaan. Jelas, pihak kerajaan sentiasa komited dengan memperuntukkan kewangan yang besar untuk menyelenggara sekolah-sekolah di seluruh negara. Namun, disebalik usaha berkenaan masih banyak lagi sekolah-sekolah uzur yang berhadapan dengan pelbagai masalah kerosakan fizikal. Dikhuatiri ia boleh menjejaskan proses pembelajaran dan keselamatan para pelajar. Justeru, penyelenggaraan sekolah perlu diberikan keutamaan dan dilaksanakan secara terancang dan berkala untuk mengelakkan sebarang kemalangan serta memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

Keadaan fizikal sekolah yang uzur bukan sahaja mencacatkan pemandangan tetapi juga menjejaskan semangat pelajar dan guru. Bangunan yang retak, siling yang bocor, dan tandas yang rosak adalah antara masalah yang sering dihadapi oleh sekolah-sekolah lama. Keadaan ini bukan sahaja mengganggu proses pembelajaran tetapi juga boleh mengundang bahaya kepada warga sekolah. Terdapat kajian yang mendedahkan bahawa sekolah yang berada dalam keadaan uzur cenderung mempunyai pelajar yang kurang bersemangat untuk belajar. Ini kerana suasana pembelajaran yang tidak selesa dan tidak selamat boleh memberi kesan negatif kepada mental dan fizikal pelajar. Oleh itu, adalah penting untuk memastikan bangunan sekolah sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat.

Kemalangan di sekolah akibat penyelenggaraan yang tidak sempurna bukanlah perkara baru. Terdapat banyak kes di mana pelajar dan guru mengalami kecederaan akibat struktur bangunan yang rosak. Sebagai contoh, terdapat kejadian yang melibatkan seorang pelajar cedera parah selepas ditimpa siling yang runtuh di sebuah sekolah. Insiden seperti ini jelas menunjukkan betapa pentingnya penyelenggaraan yang berkala, segera dan pemeriksaan menyeluruh. Kajian sama juga menunjukkan terdapat peningkatan jumlah kemalangan di sekolah-sekolah lama. Ini disebabkan oleh kurangnya tindakan yang proaktif terhadap penyelenggaraan bangunan. Justeru, langkah-langkah pencegahan seperti pemeriksaan berkala dan pembaikan segera perlu diambil bagi memastikan keselamatan semua warga sekolah.

Untuk memastikan bangunan terus berfungsi dengan baik dan memberikan keselesaan, keselamatan, dan kondisi kondusif kepada penghuni, Juruukur Bangunan dan Jurutera Pakar melaksanakan dua kaedah pemeriksaan: Pemeriksaan Keadaan Fasiliti (FCA) dan Pemeriksaan dan Penilaian Keadaan Fizikal Bangunan Sedia Ada (BCA). Pemeriksaan ini melibatkan proses mengenal pasti kerosakan bangunan dan komponen atau sistemnya untuk menentukan tindakan susulan seperti penyenggaraan, pemulihan, ubah suai, atau naik taraf. Semua risiko akan dikenal pasti dan dibaik pulih mengikut prosedur yang sesuai.

Juruukur bangunan mempunyai kemahiran khusus dalam menilai keadaan fizikal bangunan serta mengenal pasti kerosakan yang mungkin tidak terlihat oleh mata kasar. Mereka menggunakan pelbagai alat dan teknik terkini untuk menjalankan pemeriksaan yang menyeluruh. Pelaporan hasil penemuan ini mengandungi keterangan pemeriksaan, analisis tahap keadaan fasiliti, pengesyoran skop kerja, anggaran kos, dan opsyen berekonomi untuk pertimbangan pelaksanaan. Dengan bantuan pakar ini, pihak sekolah dapat mengenal pasti masalah awal dan mengambil tindakan pencegahan yang sewajarnya. Sebagai tambahan, bagi melaksanakan penyelenggaraan sekolah dengan efektif, sumber dana yang mencukupi adalah sangat penting. Kerajaan perlu menyediakan peruntukan khas bagi tujuan ini secara konsisten setiap tahun. Dana tersebut boleh digunakan untuk membaik pulih struktur bangunan, memperbaiki sistem saliran, dan memastikan semua kemudahan berada dalam keadaan baik.

Selain itu, sekolah juga boleh memohon peruntukan daripada badan-badan korporat atau NGO yang berminat dalam bidang pendidikan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR). Sebagai tambahan, pengurusan peruntukan yang efisien dan telus perlu dilaksanakan bagi memastikan dana yang diperoleh digunakan dengan sebaik mungkin.
Kepentingan tindakan segera dalam penyelenggaraan sekolah tidak boleh dipandang remeh. Masalah yang kecil jika tidak ditangani dengan cepat boleh menjadi lebih serius dan berbahaya. Sebagai contoh, kebocoran kecil pada atap jika tidak diperbaiki segera boleh menyebabkan runtuhan siling yang lebih besar.

Cadangan langkah-langkah segera yang perlu diambil termasuklah melakukan pemeriksaan berkala, membaiki kerosakan dengan segera, dan memastikan semua kemudahan berada dalam keadaan baik sebelum sesi persekolahan bermula. Tindakan ini bukan sahaja menjamin keselamatan tetapi juga meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah. Sebagai penutup, penyelenggaraan sekolah perlu dijadikan keutamaan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan warga sekolah. Semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, pihak pengurusan sekolah, ibu bapa, dan badan-badan korporat perlu bekerjasama dalam memastikan sekolah-sekolah di negara kita berada dalam keadaan baik. Seruan ini adalah untuk memastikan generasi masa depan negara dapat belajar dalam persekitaran yang selamat dan kondusif, sekali gus melahirkan individu yang cemerlang dan berdaya saing.
Penulis:

Oleh: Profesor Madya Sr Dr. Irwan Mohammad Ali
Kolej Pengajian Alam Bina
Universiti Teknologi MARA, Cawangan Perak

Sr Ts. Nurul Diyana Mohd Dahari
Juruukur Bangunan
Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor