Mahkamah Majistret Shah Alam memberikan perintah hak jagaan sementara adik Zayn Rayyan kepada nenek saudaranya bermula Jumaat.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan terus memantau perkembangan dan keadaan adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan, yang kini diletakkan di bawah orang yang layak dan sesuai (OYLS).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri menegaskan, tindakan dilaksanakan JKM adalah selaras dengan peruntukan undang-undang.

“Kita menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan dan JKM sentiasa komited menjaga kebajikan dan melindungi hak kanak-kanak.

“JKM akan terus memantau perkembangan dan keadaan kanak-kanak terbabit selama tempoh interim dua bulan ini dengan kerjasama OYLS yang telah diamanahkan.

“Saya ingin menegaskan bahawa nilai-nilai kemanusiaan, keadilan, dan kesejahteraan untuk semua terutama kanak-kanak mesti sentiasa diutamakan.

“Pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa komited agar kebajikan dan hak kanak- kanak dilindungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegas Nancy, sebarang tindakan JKM selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan menyeru kepada masyarakat untuk melaporkan sebarang kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

Kenyataan itu merujukan keputusan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK) Shah Alam yang mengeluarkan perintah jagaan sementara ke atas adik Allahyarham Zayn Rayyan, kepada OYLS yang juga merupakan waris keluarga untuk tempoh interim dua bulan.

Mahkamah Majistret hari ini, memerintahkan adik kepada Zayn Rayyan diletakkan di bawah penjagaan sementara nenek saudaranya selama dua minggu.

Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman memutuskan penjagaan kanak-kanak berusia lima tahun itu di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berakhir hari ini.

Prosiding berkenaan dibuat secara tertutup dan keputusan tersebut selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611]. – MalaysiaGazette