Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mempunyai asas untuk meneruskan pengharaman penerbitan komik berjudul Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, sebarang usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengeluarkan perintah larangan baharu terhadap penerbitan komik itu dengan menggunakan alasan sama seperti sebelum ini boleh dianggap menghina mahkamah.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu menegaskan, walaupun permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung penarikan pengharaman itu boleh dilakukan namun tidak ada sebab dan alasan sesuai untuk berbuat demikian.

“Berdasarkan apa yang telah diputuskan Mahkama Rayuan, maka semua pihak seharusnya menghormati keputusan itu dan mengelak daripada mengeluarkan kenyataan mengenai sesuatu isu yang telah diputuskan secara menyeluruh oleh mahkamah,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, Ramkarpal turut menyifatkan gesaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Salleh supaya kerajaan menyemak semula keputusan tersebut jelas dibuat tanpa mengetahui alasan sebenar penghakiman mahkamah.

“(Dr. Muhammd) Akmal dan Puad harus menghormati alasan penghakiman Mahkamah Rayuan yang sebenarnya menganalisis kandungan buku komik itu dan afidavit menteri yang menyokong permohonan untuk mengharamkannya (sebelum membuat keputusan),” katanya.

Semalam, Puad dan Dr. Muhamad Akmal menggesa kerajaan menyemak semula keputusan membatalkan Perintah Larangan penerbitan komik Kuan Yau atau lebih dikenali sebagai `Superman Hew’.

Ia susulan laporan media berkenaan keputusan KDN membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik itu yang sebelum ini diwartakan pada 2019.

Perkara itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos lalu yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertarikh 6 Ogos lalu.

Perintah larangan itu sebelum ini dibuat KDN kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.

Ini kerana kandungan penerbitan itu antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta salah dan mengelirukan mengenai komunis serta mengandungi unsur membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

Bagaimanapun, pada 8 Disember 2022, media melaporkan kerajaan gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan semula larangan ke atas penerbitan komik tersebut.

Peguam Vince Tan Hoo Seh, yang mewakili Kuan Yau memaklumkan, hakim tidak menemui sebarang isu baharu atau persoalan yang dikemukakan kerajaan adalah berhubung kepentingan awam untuk mewajarkan usaha mengembalikan larangan itu. – MalaysiaGazette