KUALA LUMPUR – Prosiding membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kes rasuah projek terowong dasar laut di negeri itu di Mahkamah Sesyen di sini berlangsung dalam keadaan tegang.
Ini kerana saksi utama pendakwaan, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli diasak beberapa kali oleh pasukan pembelaan Guan Eng sehingga menyebabkan ahli perniagaan itu menjadi emosional.
Antara yang menjadi topik hujah soal balas pembelaan ialah bagaimana Zarul seolah-olah menyembunyikan bekas pengawal peribadinya yang hanya dikenali sebagai ‘Din’.
Din atau Saifuddin itu dipercayai warga Indonesia kini sudah tidak berkhidmat dengan Zarul dan didakwa sebagai individu yang mempunyai peranan penting dalam kronologi pemberian wang berjumlah RM2 juta kepada Guan Eng.
Namun difahamkan nama Din atau Saifuddin itu tidak disebut pada perbicaraan yang sedang berlangsung ketika ini sebaliknya hanya disebut pada keterangan Zarul dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dakwa peguam bela, Haijan Omar, saksi itu sengaja ‘menggelapkan’ bekas pengawalnya dalam kes rasuah itu namun Zarul tidak bersetuju.
Haijan mencadangkan Zarul Ahmad sengaja tidak menyebut tentang pengawal itu yang didakwa membawa dua beg masing-masing berisi RM1 juta yang kemudian diletakkan ke dalam bonet kereta milik saksi terbabit pada Ogos 2017.
Zarul: Saya tidak sebut kerana dia (pengawal) sudah balik Indonesia.
Haijan: Apa nama pengawal kamu? Apa nama penuh?
Zarul: Saya tahu dan panggil Din sahaja. Saifuddin. Nama penuh tidak pasti, tidak ingat. Dia sudah balik Indonesia.
Haijan: Dalam keterangan kamu menyatakan bahawa kamu mengarahkan pengawal peribadi bernama Din untuk masukkan beg berisi wang ke dalam kereta Mercedes. Betul?
Zarul: Ya.
Haijan: Din ini memainkan peranan penting, jika dia datang ke mahkamah, dia akan tahu ada berapa beg berisi wang yang diberikan.
Zarul: Betul.
Haijan: Tapi ini berbeza dengan keterangan kamu di mahkamah kerana kamu berkata, kamu sendiri turun daripada pejabat dan bawa beg itu ke dalam kereta. Kamu sembunyikan nama Din dari mahkamah.
Zarul: Saya dah jawab semua ini. Mengapa tanya lagi. Kalau Din datang ke mahkamah, ini akan jadi lebih buruk kepada pembelaan.
Haijan: Mengapa?
Zarul: Ini hanya pendapat saya.
Haijan: Mengapa banyak yang bercanggah daripada keterangan kepada SPRM dan ketika beri keterangan di mahkamah?
Zarul: Tolonglah, fıkiran saya tidak stabil. Saya ditahan 11 hari oleh polis. Disoal pula SPRM lebih 11 jam. Tidur atas lantai simen. Walaupun sakit belakang tapi saya tetap disuruh tidur atas simen.
Zarul lagi dalam keadaan beremosi berkata, SPRM telah mengarahkannya mengasingkan pernyataan mengenai kes membabitkan ahli perniagaan, G Gnanaraja dan kes Guan Eng selain tiga pembayaran dibuatnya sekitar tahun 2017 sehingga menyebabkan fikirannya keliru.
Untuk makluman, prosiding hari ini untuk menentukan adakah wujudnya percanggahan pernyataan Zarul dalam kes penipuan Gnanaraja di Mahkamah Sesyen Shah Alam dengan kes Guan Eng berkaitan lot tanah Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion.
Isu kredbiliti saksi timbul pada prosiding lepas apabila pembelaan mendapati keterangan Zarul itu berubah berhubung isu wang RM2 juta masing-masing untuk Guan Eng dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang diberikan melalui Gnanaraja selaku orang tengah pada 2017.
Prosiding akan bersambung pada 26 Ogos depan.
Ketika ini, Guan Eng sedang dibicarakan atas pertuduhan menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion. -MalaysiaGazette