Pathmanathan.

GEORGE TOWN – Kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang yang rendah mengancam perkhidmatan bekalan air untuk 74,798 pengguna di Pulau Pinang.

Antara kawasan pengguna terlibat adalah di Air Itam, Farlim, Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah dan kawasan berhampiran.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan dalam satu kenyataan media mengakui paras rendah di dua empangan adalah isu yang membimbangkan.

Bagaimanapun, jelas beliau, pengguna air perlu memainkan peranan yang positif dan membina setiap hari untuk mengelakkan kekurangan air di negeri ini.

“Dalam keadaan sekarang, PBAPP meminta sokongan dan kerjasama daripada pengguna air untuk mengurangkan penggunaan air harian membabitkan tiga perkara iaitu kurangkan basuh kenderaan, jangan gunakan hos untuk menyiram taman atau tanaman dan jangan biarkan pili air mengalir kerana dalam tempoh seminit 20 liter air membazir.

“Kami di pihak PBAPP memainkan peranan untuk mempertahankan Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang dengan sebaik mungkin. Malah, dalam tempoh 19 hari bulan ini kita merekodkan sedikit hujan di KTA Empangan Air Itam (91mm) dan Empangan Teluk Bahang (164mm).

“Walau bagaimanapun, kapasiti efektif empangan ini tidak meningkat ia menyebabkan PBAPP terpaksa melepaskan lebih banyak air dari empangan ini setiap hari untuk memenuhi permintaan di kawasan terlibat atau erti kata lain pengguna menggunakan jumlah air yang lebih tinggi daripada jumlah hujan di empangan ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Empangan Air Itam berkapasiti 2,159 juta liter (JL) memberi perkhidmatan kepada pangkalan pelanggan kira-kira 28,948 pengguna air di Air Itam, Farlim dan kawasan berhampiran.

Manakala Empangan Teluk Bahang berkapasiti 18,240 JL memberi perkhidmatan kepada pangkalan pelanggan kira-kira 45,850 pengguna air di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah dan kawasan sekitarnya. Kapasiti efektifnya adalah kira-kira 8.45 kali ganda daripada Empangan Air Itam. – MalaysiaGazette