KUALA LUMPUR – Keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATAMI) Telekom Malaysia Bhd (TM) menyusut 8.6 peratus kepada RM821.2 juta berbanding RM898.8 juta pada tempoh sama tahun lalu disebabkan oleh kredit cukai sekali bayar pada 2023.
Bagaimanapun Perolehan Sebelum Faedah dan Cukai (EBIT) syarikat telekomunikasi itu meningkat sebanyak 14.5 peratus mencapai RM1.26 bilion berbanding RM1.1 bilion pada tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, peningkatan didorong oleh penumpuan berterusan untuk meningkatkan kecekapan operasi dan pengurusan kos berkesan.
Hasil operasi TM untuk separuh tahun ini kekal stabil pada RM5.74 bilion mencerminkan prestasi konsisten.
“Unifi UniVerse terbaru kami terus mengujakan pasaran apabila tawaran-tawaran konvergens syarikat yang komprehensif menyediakan pengalaman terbaik dalam memenuhi pelbagai keperluan para pengguna digital.
“Hasilnya, kami telah menyaksikan pertumbuhan bilangan pelanggan, sekali gus mengukuhkan kedudukan TM sebagai peneraju konvergens Malaysia yang sebenar,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
TM turut mengumumkan dividen interim lebih tinggi sebanyak 12.5 sen sesaham berjumlah RM479.7 juta berbanding dividen interim sebanyak 9.5 sen sesaham pada tahun sebelumnya.
Mengulas lanjut, Amar Huzaimi menambah, TM juga memajukan infrastruktur digital Malaysia dengan berkolaborasi bersama pelbagai agensi kerajaan dalam membangunkan Next Generation Emergency Services 999 (NG999).
Kata beliau, dengan memanfaatkan teknologi-teknologi canggih seperti analisis data dan kecerdasan buatan (AI), NG999 akan meningkatkan keupayaan tindak balas kecemasan negara secara signifikan bag menggantikan MERS999.
“Kami secara proaktif meneroka peluang-peluang perniagaan baharu melalui kerjasama strategik. Terbaharu adalah kolaborasi kami dengan Nxera milk Singtel untuk membina pusat data mega yang mampan, ketersambungan tinggi dan sedia Al di Johor.
“Inisiatif ini akan menyokong pengkomputeran berprestasi tinggi serta aplikasi awan dan Al masa dean untuk hyperscalers dan penyedia teknologi.
“Pada masa sama, kami kekal komited menyokong ekosistem 5G Malaysia, memastikan rakyat mendapat manfaat daripada kemajuan terkini dalam ketersambungan dan perkhidmatan digital,” katanya.
Amar memberitahu, TM kini fokus untuk mengukuhkan teras-teras utama, menguruskan kos secara berkesan dan meraih peluang pertumbuhan bag memastikannya kekal berada dalam kedudukan yang baik untuk masa hadapan.
“Kami juga kekal utuh dalam memacu aspirasi Kumpulan untuk menjadi Digital Powerhouse menjelang 2030 sambil meletakkan Malaysia sebagai hab digital serantau,” katanya.
Sementara itu, Perbelanjaan Modal (CAPEX) pada separuh tahun ini adalah RM460 juta atau 8.0 peratus daripada jumlah hasil.
“Kumpulan merancang untuk meningkatkan pelaburan in menjelang akhir tahun dengan tumpuan kepada peningkatan infrastruktur rangkaiannya di seluruh negara dan serantau.
“Ini termasuk pembangunan sistem kabel dasar laut yang baharu dan perluasan pusat data,” katanya. – MalaysiaGazette