Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa bercakap pada media Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Florida Diraja Putrajaya 2024 di Presint 2, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 01 September 2024

PUTRAJAYA – Cadangan pemberian pampasan kepada keluarga mangsa yang hilang dalam kejadian tanah jerlus di Masjid India di Kuala Lumpur akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada minggu depan.

“Kita mencadangkan untuk berbincang dan bawa ke Kabinet tentang perkara tersebut. Insya-Allah minggu depan dan kita ada mesyuarat di mana saya akan bawa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis penutup Festival Floria Diraja Putrajaya 2024 di sini hari ini.

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk beriadah di Taman Floria pada hujung minggu ketika tinjauan Malaysia Gazette di Presint 2, Putrajaya Foto AIZAT ZAINAL, 1 SEPTEMBER 2024

Semalam, Dr Zaliha berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan pampasan kepada keluarga mangsa yang hilang dalam kejadian tanah jerlus di Masjid India di ibu kota.

Terdahulu, beliau memaklumkan operasi mencari dan menyelamat wanita warga India yang terjatuh di lokasi kejadian dihentikan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama sembilan hari.

Katanya, keputusan itu diambil atas beberapa faktor terutamanya disebabkan keselamatan anggota dan keselamatan lokasi.

Pada 23 Ogos lalu, seorang wanita dikenali sebagai G Vijaya Lakshmi, 48, berasal dari Kuppam, Andhra, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India di sini.

Sementara itu, Zaliha turut memberi jaminan Kuala Lumpur secara amnya berada dalam keadaan yang selamat selepas dinilai oleh pakar geologi termasuk Jabatan Mineral dan Geologi. – MalaysiaGazette