Mohamad Fazli melancarkan Pengoperasian Laluan Baharu Bas Muafakat Johor (KL004) Paloh-Kluang di Terminal Bas Kluang, Kluang hari ini

KLUANG – Kerajaan negeri menafikan dakwaan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada Bersatu) Johor bahawa pihaknya tidak berbuat apa-apa selepas peruntukan RM800,000 diluluskan untuk kerja-kerja mendalamkan sungai dan RM5 juta untuk projek tebatan banjir di Sungai Melantai di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, dakwaan itu tidak benar sedangkan kerja-kerja tersebut sudah dilakukan sebelum ini.

Jelasnya, kerajaan negeri sudah mengeluarkan hampir RM3 juta untuk memastikan tebing tidak runtuh dan air tidak melimpah di Sungai Melantai dan Sungai Mengkibol.

“Untuk tahun ini sahaja kita sudah keluarkan lebih kurang RM1 juta untuk menaik taraf benteng yang jatuh di kawasan Sungai Melantai dan Sungai Mengkibol.

“Tiga projek berkenaan adalah satu di Kampung Palembang Baru bernilai RM175,000 yang siap 21 Ogos, kedua projek di Sungai Melantai berharga RM409,000 yang siap 9 September ini dan Projek Pengukuhan Tebing Sungai Melantai bernilai RM326,000 yang siap 19 Ogos.

“Apa pula tak nampak (dakwaan tidak berbuat apa-apa), suruh dia (Ketua Armada Johor) telefon saya,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pengoperasian Laluan Baharu Bas Muafakat Johor (KL004) Paloh-Kluang di Terminal Bas Kluang, di sini, hari ini.

Hari ini, Ketua Armada Bersatu Johor, Mohamad Syafiq Mohd Khairul Sam mempersoalkan ke mana perginya semua peruntukan tersebut dan mendakwa sehingga ‘tidak kelihatan’.

Mohamad Syafiq berkata, pihaknya difahamkan peruntukan itu sudah ‘turun’ tetapi tidak kelihatan kerja-kerja atau projek tersebut dilakukan.

“Tetapi sehingga ke hari ini masalah sama masih tidak diselesaikan dan terus menghantui kehidupan rakyat.

“Lantas menimbulkan lebih banyak persoalan adakah peruntukan ini benar-benar telah disalurkan atau tidak,” soal Mohamad Syafiq dalam sidang akhbar mengenai isu tersebut.

Mengulas lanjut, Mohamad Fazli berkata, kerajaan negeri juga sudah memohon Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dengan kos RM1 bilion bagi mengatasi masalah banjir di dua sungai berkenaan.

Sungai Melantai dan Sungai Mengkibol katanya, merupakan punca banjir dalam kawasan Kluang yang  memberi kesan terhadap 2,000 mangsa banjir pada setiap tahun.

“Kita menerima peruntukkan dari kerajaan Pusat setiap tahun dan kita juga telah memohon satu projek besar iaitu RTB bernilai keseluruhan RM800 juta hingga RM1 bilion melibatkan dua sungai tersebut untuk Rancangan Malaysia ke 12,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here