Anggota Tentera bergambar selepas membuang kertas undi bagi menunaikan tanggungjawab sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 DUN Mahkota di Kem Mahkota, Kluang. Foto SADIQ SANI, 24 SEPTEMBER 2024.

Oleh: Prof. Dr. Rusdi Omar

BERDASARKAN penelitian saya, terdapat 20 faktor mengapa Syed Hussien Syed Abdullah, calon Barisan Nasional (BN), akan menang selesa ke atas Mohamad Haizan Jaafar dari Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.

Faktor 1: Rentak kemenangan PRK Nenggiri

Kemenangan besar BN di PRK Nenggiri pada 17 Ogos lalu memberikan momentum positif kepada jentera parti BN di seluruh negara. Kemenangan ini mencipta keyakinan pengundi terhadap keupayaan BN untuk terus menang, dan aura kemenangan ini turut dirasai oleh pengundi di Mahkota, memberikan kelebihan kepada Syed Hussien dalam meraih undi.

Faktor 2: Pengumuman calon lebih awal

Sama seperti di PRK Nenggiri, BN telah mengumumkan Syed Hussien sebagai calon lebih awal berbanding PN. Ini memberikan masa yang cukup untuk BN merancang strategi kempen secara lebih teratur dan mendekati pengundi dengan lebih berkesan, sementara PN dilihat ketinggalan dari segi persediaan awal.

Faktor 3: Strategi ceramah kelompok

BN menggunakan strategi ceramah kelompok yang berkesan dalam PRK Nenggiri, membolehkan mereka berinteraksi secara langsung dengan pengundi dalam kumpulan kecil, yang lebih intim dan fokus. Strategi ini berjaya di PRK Nenggiri dan dilihat akan terus berjaya di Mahkota, meningkatkan kepercayaan pengundi terhadap calon BN.

Faktor 4: Faktor calon muda

Syed Hussien, 40 tahun, merupakan Ketua Pemuda UMNO Kluang dan lebih dekat dengan pengundi muda, yang membentuk sebahagian besar pengundi di DUN Mahkota. Beliau lebih mempunyai daya tarikan kepada pengundi muda berbanding calon PN, Coach Haizan yang berusia 61 tahun, menjadikan isu usia ini faktor utama dalam pola pengundian.

Faktor 5: Sokongan padu komponen Kerajaan Perpaduan

BN mendapat sokongan penuh daripada komponen Kerajaan Perpaduan khususnya DAP, MCA, dan MIC yang aktif berkempen untuk Syed Hussien. Tiada lagi isu antara UMNO dengan MCA dan MIC yang akan memobilisasi undi daripada pengundi Cina dan India, sekaligus meningkatkan peluang kemenangan BN.

Faktor 6: Amanah beri laluan kepada BN

Walaupun pada awalnya AMANAH mahu bertanding di DUN Mahkota, isu ini berjaya diselesaikan melalui rundingan. AMANAH akhirnya memberi laluan kepada BN, yang memastikan tiada perpecahan dalam undi di kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH), sekali gus memperkuatkan peluang kemenangan BN.

Faktor 7: Keadaan ekonomi semakin pulih

Dengan keadaan ekonomi negara yang semakin pulih, pengundi melihat parti yang memerintah, khasnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai peneraju utama dalam membina kestabilan ekonomi. Faktor ini memberikan aura positif kepada Syed Hussien, yang mewakili parti dalam Kerajaan Perpaduan yang berjaya mengatasi pelbagai cabaran ekonomi.

Faktor 8: Pentadbiran stabil di Johor

Pentadbiran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang kukuh dan stabil tanpa isu besar, memberikan keyakinan kepada pengundi di DUN Mahkota bahawa wakil BN adalah pilihan yang tepat untuk terus memacu pembangunan di Johor. Pengundi tempatan melihat kestabilan pentadbiran sebagai asas kepada pilihan mereka.

Faktor 9: Undi penjawat awam

Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang meningkatkan gaji dan menambahbaik skim perkhidmatan penjawat awam membolehkan BN menerima sokongan kuat daripada golongan ini. Di samping itu, undi awal tentera dan polis yang secara tradisinya condong kepada BN juga memperkuatkan peluang Syed Hussien untuk menang.

Faktor 10: Kerjasama kukuh PH-BN

Kerjasama yang kuat antara PH dan BN di peringkat negeri dan persekutuan memberikan kelebihan besar kepada Syed Hussien. Pengundi melihat PH-BN sebagai gabungan yang stabil dan bersatu, mampu membawa kestabilan politik serta pembangunan di DUN Mahkota.

Faktor 11: Sokongan kuat pengundi Cina dan India

Walaupun pengundi Cina pada awalnya berasa kurang selesa dengan UMNO, DAP telah bekerja keras untuk meredakan ketidakselesaan ini dan memobilisasi undi Cina walaupun ada surat laying meminta mereka tidak mengundi. Pengundi India, yang setia dengan BN, juga dijangka memberikan sokongan padu, menjadikan gabungan pengundi ini sebagai faktor penting kemenangan.

Faktor 12: Kempen hybrid BN

Pengumuman Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, bahawa BN akan menggunakan pendekatan kempen hybrid, iaitu gabungan kempen fizikal dan digital akan membolehkan BN menjangkau pelbagai lapisan masyarakat. Ini memberi kelebihan kepada Syed Hussien untuk meraih sokongan pengundi, terutamanya pengundi muda yang aktif di media sosial.

Faktor 13: Jentera Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO

Jentera Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO memberikan sokongan penuh kepada Syed Hussien, walaupun pada awalnya terdapat ketidakselesaan di kalangan Wanita UMNO bila calonnya tidak terpilih. Gabungan tenaga kerja dari ketiga-tiga sayap ini meningkatkan kekuatan kempen BN di DUN Mahkota.

Faktor 14: Tiada isu sensitif 

Kempen PRK DUN Mahkota berjalan dengan aman tanpa isu sensitif seperti kaum, agama, dan raja (3R) dimainkan oleh mana-mana pihak. Ini memastikan fokus pengundi kekal kepada calon dan polisi yang ditawarkan, dan ini akan memberi kelebihan kepada calon BN.

Faktor 15: Faktor sokongan akar umbi

Syed Hussien merupakan anak tempatan dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang yang sudah lama berkhidmat di kawasan tersebut. Pengundi tempatan yang mengenali dan menghargai perkhidmatannya akan cenderung menyokong beliau, memberikan kelebihan besar dalam meraih sokongan akar umbi.

Faktor 16: Karisma calon BN

Karisma Syed Hussien yang mesra dan disenangi oleh pengundi tempatan menjadikannya calon yang lebih diterima berbanding Coach Haizan, yang mungkin lebih dikenali dalam bidang sukan tetapi kurang aktif dalam bidang politik dan hanya berjawatan Ahli Jawatankuasa BERSATU Kluang. Kredibiliti dan reputasi Syed Hussien memberi impak positif kepada kempen beliau.

Faktor 17: Sokongan pengundi muda

Sebanyak 52% pengundi di DUN Mahkota adalah pengundi muda, dan Syed Hussien, sebagai calon muda, lebih relevan dan mudah mendekati golongan ini berbanding Coach Haizan yang lebih berusia. Ini memberi kelebihan besar kepada Syed Hussien dalam meraih sokongan generasi muda.

Faktor 18: Tidak terbawa-bawa dengan emosi

Seruan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Mohamad Hassan, supaya penyokong BN tidak terbawa-bawa dengan emosi sekiranya calon pilihan mereka tidak dicalonkan, tetapi tetap memberi sokongan kepada parti memberi kesan. Ia memastikan jentera BN beroperasi dengan penuh disiplin dan fokus kepada kemenangan.

Faktor 19: Sokongan pengundi luar

BN dijangka berjaya menarik balik pengundi luar, khususnya pengundi muda yang menetap di luar Johor. Usaha keras pimpinan BN dan PH agar mereka pulang mengundi, termasuk tindakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, membenarkan mahasiswa baharu mendaftar lewat ke ke universiti awam (UA) masing-masing, menunjukkan bahawa pengundi luar akan memainkan peranan penting dalam kemenangan Syed Hussien.

Faktor 20: Masalah PN raih undi Cina

PN mengakui bahawa mereka sukar untuk meraih undi daripada pengundi Cina yang membentuk 34 peratus pengundi di Mahkota walaupun mereka cuba mengeksploitasi isu sijil halal untuk restoran. Kegagalan PN untuk memenangi sokongan pengundi Cina memberi kelebihan besar kepada Syed Hussien, yang mendapat bantuan penuh daripada DAP dan MCA dalam menarik undi komuniti Cina.

Dengan semua faktor ini, Syed Hussien dijangka mempunyai peluang besar untuk menang dalam PRK DUN Mahkota dengan selesa.

 

Penulis adalah penganalisis politik Malaysia

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here