Azam Baki

BANGI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung peranan sebuah syarikat dimiliki warga Bangladesh yang dipercayai terbabit dalam sindiket membawa masuk warga asing melalui pintu masuk negara menggunakan modus operandi ‘Counter Setting’.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, syarikat terbabit dikesan membawa masuk pekerja dari Bangladesh secara tidak sah, dengan menyamar sebagai pelancong.

“Terbaru ada syarikat yang dimiliki oleh warga Bangladesh beroperasi di sini membawa pekerja dengan cara yang kita nampak tidak mematuhi peraturan.

“Oleh itu, kita sedang dapatkan bukti menerusi akaun syarikat berkenaan, sama ada terdapat bukti pembayaran kepada mana-mana pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Anti Rasuah Peringkat Kebangsaan kali ke-3 2024, di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Sebelum ini, media melaporkan, agensi penguatkuasa undang-undang itu menahan seorang pengarah syarikat warga Bangladesh kerana disyaki terbabit dengan sindiket membawa masuk warga asing melalui pintu masuk negara menggunakan modus operandi ‘Counter Setting’.

Menurut sumber, lelaki berusia 50-an itu ditahan dalam satu operasi yang dijalankan SPRM di sekitar Lembah Klang pada pukul 8 malam, Ahad lepas.

Mengulas lanjut Azam berkata, siasatan awal mendapati, syarikat terbabit tidak mempunyai sistem bagi sebarang urusan keluar masuk pekerja warga Bangladesh ke negara ini.

“Syarikat ini nampaknya tidak mempunyai apa-apa sistem di Malaysia tapi jadi orang tengah bawa pekerja ke sini. Antaranya dengan mengambil pekerja masuk ke sini dengan cara pelancong tetapi masuk ke negara ini, kamudian lesap begitu saja.

“Sukar juga untuk kita siasat. Untuk kesan dokumen mereka, berapa ramai sudah dibawa masuk. Sebab itu tindakan bawa masuk pekerja asing seperti dari Nepal, Vietnam, Indonedia serta Bangladesh perlu menggunakan sistem yang membolehkan kita menjejaki dan boleh dikesan pekerja yang masuk,” ujarnya.

Menyentuh mengenai penahanan ke atas 50 penguat kuasa kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket yang membawa masuk warga asing tersebut , Azam berkata, pihaknya sedang melengkapkan siasatan.

“Siasatan ke atas 50 orang itu sedang disiapkan. Tunggu untuk kita umumkan sama ada ada pertuduhan atau tidak,” ujarnya.

Seramai 49 penguat kuasa yang ditahan sebelum ini adalah pegawai di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan seorang lagi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM). – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here