Exco Hal Ehwal Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah.

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat 612 individu berkaitan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, kesemua individu terbabit akan disiasat mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Terdapat 386 individu diklasifikasikan sebagai mangsa yang diselamatkan akan ditemubual, 184 individu sebagai Orang Yang Disyaki (OYDS) akan disiasat untuk tujuan pendakwaan manakala baki 42 individu masih menunggu klasifikasi pihak PDRM.

“Sehingga petang semalam, lebih 100 OYDS telah ditangkap oleh JAIS untuk disiasat dan dirakam percakapan. Semua individu akan disiasat mengikut Seksyen 7,8,10,12(c) dan 13 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Seksyen 106 dan 119.

“Mereka juga disiasat mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016, serta di bawah Seksyen 40 dan 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohammad Fahmi, JAIS juga  telah menubuhkan satu jawatankuasa khas diketuai Pengarah JAIS untuk mewujudkan satu pasukan yang akan memberi perhatian dan mengambil tindakan khusus berkaitan tangkapan yang dibuat PDRM.

“Jawatankuasa itu telah melantik lapan orang pegawai Penyiasat (IO) khas untuk meneruskan siasatan beberapa kes penting melibatkan individu berprofil tinggi dalam GISBH.

“Tangkapan PDRM terhadap individu-individu ini dijangka akan membolehkan JAIS mengemukakan kes ke Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor,” jelasnya.

Katanya lagi, kerajaan negeri juga akan berbincang dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk mewujudkan satu mekanisme yang mudah dan cepat berikutan tindakan GISBH yang memungut wang atau sumbangan daripada umat Islam untuk kepentingan dan kumpulannya menerusi rumah-rumah amal mereka.

“Mekanisme ini bagi membolehkan orang awam menyemak kebenaran memungut wang atau sumbangan dari mana-mana pihak bagi menyokong dan memajukan agama Islam atau bagi faedah orang-orang Islam mengikut hukum syarak.

“Ini akan memastikan sumbangan umat Islam yang berniat baik dan ikhlas tidak disalah guna oleh mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan atas dasar simpati dan agama.

“Umat Islam di Selangor diminta sentiasa terus menjadi mata kepada MAIS dan JAIS dalam mengesan pergerakan awal, mengekang dan membanteras apa juga bentuk penyelewengan akidah yang berlaku dengan membuat aduan ke Talian Hotline JAIS 1800-88-2424,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here