Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

KUALA LUMPUR – Kewangan Islam kini semakin diterima ramai, dipacu oleh peningkatan minat terhadap sukuk, pelaburan halal dan teknologi kewangan Islam, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Pengarah Eksekutif Pasaran Modal Islam (ICM) SC, Sharifatul Hanizah Said Ali dalam ucaptama pada Forum IFN Investor Asia 2024 bertemakan “Membina ICM yang Berdaya tahan dan Inovatif untuk Impak Global” hari ini berkata, trend ini didorong dengan permintaan yang mantap terhadapnya sejak bertahun-tahun.

Beliau berkata, dalam keadaan permintaan yang meningkat, industri kewangan Islam diunjur mencecah US$6.7 trilion menjelang 2027, naik daripada US$4 trilion pada 2022. (US$1 = RM4.13)

Pertumbuhan ini akan didorong terutamanya oleh kelas aset utama, dengan sukuk dijangka naik kepada US$1.3 trilion daripada US$788 bilion pada 2022.

Selain itu, aset yang diuruskan oleh institusi kewangan Islam diunjur meningkat daripada US$167 bilion kepada US$200 bilion.

Di Malaysia, ICM telah mencecah RM2.6 trilion sehingga Julai 2024, mencerminkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 10 peratus, di samping pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua.

Mengikut sektor, pasaran sukuk berjumlah RM1.3 trilion pada Julai 2024, dengan lebih RM28 bilion diiktiraf sebagai sukuk pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI).

“Ingin ditekankan bahawa segmen sukuk SRI bermula daripada hanya RM100 juta sejak sedekad lepas dalam satu sektor (pendidikan, melalui sukuk Ihsan oleh Khazanah), dan sejak itu telah berkembang merangkumi bidang seperti tenaga dan utiliti, yang kini menyumbang hampir kepada 46 peratus, diikuti dengan pengangkutan dan hartanah,” katanya.

Menurut Sharifatul Hanizah, Malaysia terus meneraju pasaran sukuk global, menyumbang lebih satu pertiga daripada jumlah bahagian pasaran dalam sukuk global yang penting

Beliau turut menekankan mengenai keteguhan pasaran ekuiti patuh Syariah, yang berjumlah RM1.3 trilion dalam permodalan pasaran, menyumbang hampir 80 peratus daripada saham yang disenaraikan di seluruh pasaran Utama, ACE dan Leap Bursa Malaysia.

“Ekosistem pengurusan dana Islam meletakkan Malaysia sebagai antara tiga teratas di dunia, dengan aset di bawah pengurusan (AUM) berjumlah US$32 bilion setakat 2022.

“Ia terdiri daripada dana patuh Syariah, meliputi mandat swasta dan skim pelaburan kolektif, termasuk produk disenaraikan seperti amanah pelaburan hartanah dan dana dagangan bursa, dan produk pelaburan tidak tersenarai seperti dana unit amanah, dana borong dan skim persaraan swasta,” katanya.

Beliau berkata pasaran modal teroka dan ekuiti persendirian Malaysia berkembang maju, mencecah RM17.9 bilion dana komited pada 2023, merangkumi pelaburan Syariah dan bukan Syariah.

Ini mencerminkan minat yang berterusan daripada pelabur korporat dan institusi.

Pada masa ini, Malaysia mempunyai 12 platform pendanaan awam ekuiti dan 13 platform rakan setara yang menawarkan penyelesaian Islam.

Pada 2023, dana yang diraih melalui platform ini melonjak lebih empat kali ganda, mencecah RM524.8 bilion, meningkat daripada RM140.8 bilion pada 2022.

“Beberapa inisiatif sepanjang dekad lepas menyokong kepimpinan Malaysia dalam ICM dan ekosistem kewangan mampan, didorong oleh peningkatan berterusan dan pembangunan rangka kerja serta panduan kawal selia.

“Ini termasuk rangka kerja perintis sukuk SRI, rangka kerja dana bercirikan wakaf, rangka tindakan pengurusan dana dan kekayaan Islam, dan garis panduan mengenai produk dan perkhidmatan ICM,” katanya. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here