Lima didakwa di Mahkamah Seysen Kota Tinggi hari ini kerana melakukan pencemaran di Bandar Tenggara

KOTA TINGGI – Seorang pengarah dan pemegang saham sebuah kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat menyebabkan mudarat terhadap pemeliharaan perkhidmatan utama iaitu perkhidmatan air di Bandar Tenggara di sini pada 4 September lalu.

Tertuduh, Tan Eng Yong, 41, yang merupakan warga Singapura dan Lau Kam Wai, 53, warga tempatan membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.

Berdasarkan pertuduhan, pada tarikh tersebut antara pukul 8 hingga 11.30 malam di kawasan lombong Kampung Orang Asli (KOA) Pasir Intan, Bandar Tenggara, R Navaraj, 23, K Prasanth, 28 dan K Jaya Kumar, 52 telah secara tidak langsung melakukan sabotaj iaitu menyebabkan mudarat terhadap pemeliharaan perkhidmatan utama iaitu perkhidmatan air.

Unutk itu kedua-dua tertuduh bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas telah bersubahat melakukan kesalahan itu di mana kesalahan itu telah dilakukan hasil daripada persubahatan.

Atas kesalahan itu mereka didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang dibaca bersama-sama dengan seksyen 124K Kanun yang sama.

Dalam pertuduhan berasingan, Navaraj, Prasanth dan Jaya Kumar pada tarikh, waktu dan lokasi yang sama didakwa melakukan sabotaj iaitu menyebabkan mudarat terhadap pemeliharaan perkhidmatan utama iaitu perkhidmatan air.

Mereka didakwa atas Seksyen 124K Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 30 hingga 40 tahun sekiranya disabit kesalahan.

Ketiga-tiga tertuduh mengangguk memahami pertuduhan dibacakan serta mengaku tidak bersalah.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar.

Tan Eng Yong dan Lau Kam Wai diwakili peguam, Muhammad Mohd Nasir dan Goh Sze Han, sementara tiga lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Hayda Faridzal tidak membenarkan jaminan bagi kesemua tertuduh dan menetapkan 14 November ini sebagai tarikh sebutan kes dan bagi pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

Ketika sesi mahkamah bermula, seorang tertuduh, Prasanth bagaimanapun rebah hingga menganggu kelancaran mahkamah kira-kira tiga minit.

Malah Prasanth juga selepas sesi pertuduhan memaklumkan mahkamah dia tidak mengetahui kandungan barangan yang dibawa ketika kejadian.

Bagaimanapun, Hayda Faridzal menyatakan ia sepatutnya dimaklumkan ketika perbicaraan yang dijangkakan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

Terdahulu awal bulan ini, Johor berdepan beberapa siri pencemaran bau dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa kimia di sungai sekitar Johor Bahru dan Kota Tinggi.

Sebelum ini, lebih 38 penduduk orang asli di Kampung Pasir Intan terpaksa dipindahkan ke balai raya kampung berdekatan selepas mendakwa sesak nafas dan sukar bernafas susulan pencemaran bau Sungai Linggui, iaitu anak Sungai Sayong.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Lima suspek kes pencemaran kampung Orang Asli didakwa hari ini

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here