Bangunan Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Malaysia melahirkan kebimbangan dengan konflik di Timur Tengah yang semakin meruncing dan mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Israel di Lubnan yang telah meragut lebih 600 nyawa dan menyebabkan kemusnahan infrastruktur yang dahsyat.

Lantaran itu, Malaysia menyeru agar konflik ini dihentikan dengan serta-merta bagi mengelakkan peningkatan ketegangan di rantau tersebut.

“Sebagai menyokong usaha diplomatik untuk menamatkan konflik ini, Malaysia mengalu-alukan kenyataan bersama 25 September 2024 oleh Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Kesatuan Eropah, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom dan Qatar, yang menggesa gencatan senjata segera, selaras dengan Resolusi UNSC 1701 (2006).

“Malaysia dengan tegas menggariskan keperluan melaksanakan Resolusi UNSC 2735 (2024) untuk menamatkan segera pembunuhan beramai-ramai dan malapetaka kemanusiaan di Gaza,” kata Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Malaysia turut menegaskan komitmen untuk mempromosikan keamanan, dialog, dan kerjasama dalam mencapai keadilan, keselamatan serta keamanan antarabangsa.

Malaysia juga terus menyokong semua usaha bagi tujuan mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik yang sedang berlangsung. – MalaysiaGazette