Suspek lelaki yang sangat dikehendaki dalam kes pecah kedai di Damansara dengan 26 rekod jenayah berjaya ditembak mati dalam insiden di Kampung Kundang Rawang 25 September 2024.

KUALA LUMPUR – Polis memburu dua rakan penjenayah yang mati ditembak di Kampung Baru Kundang, Rawang, Selangor semalam.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati mereka yang terlibat dalam kes pecah kedai di Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu masih bebas.

“Kedua-dua suspek itu kini sedang giat diburu polis untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam seorang lelaki yang mempunyai 26 rekod jenayah lampau mati ditembak selepas dia merempuh kenderaan polis dan orang awam di Kampung Baru Kundang, Rawang.

Suspek berusia 30-an yang pernah ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) itu disyaki terlibat dalam kes jenayah pecah kedai di Kawasan Damansara.

Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, suspek enggan memberhentikan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina lalu mengundurkan kenderaan itu sebelum merempuh kenderaan polis serta orang awam yang berada di lokasi.

Polis kemudian telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan dipandu suspek untuk mempertahankan diri yang menyebabkan kenderaan itu terbabas dan suspek disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Berikutan insiden itu, polis turut menyelamatkan seorang lelaki warga Indonesia yang menjadi mangsa culik suspek tersebut yang dipercayai diculik di Salak Selatan, Cheras. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here