Sultan Selangor
Sultan Sharafuddin Idris Shah

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah disembah maklum surat permohonan ampun daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurut Facebook Selangor Royal Office, surat bertarikh 25 September 2024 itu antaranya memuatkan permohonan ampun di atas kenyataan Muhammad Sanusi seperti dalam pertuduhan terhadap beliau di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati Sultan Sharafuddin.

“Beliau (Muhammad Sanusi) turut mengakui bahawa kenyataan beliau itu telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah mengguris hati dan perasaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan beliau benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media semalam melaporkan, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) telah menghantar warkah permohonan ampun sudah dihantar kepada Sultan Sharafuddin.

Muhammad Sanusi berkata, beliau sedar tidak tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan ketika berada di negeri orang khususnya Selangor.

“Patik tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan seperti yang telah patik perkatakan walaupun ucapan tersebut dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihan raya.

“Oleh itu, dengan penuh rasa insaf dan rendah diri, patik memohon beribu keampunan kepada Tuanku Sultan Selangor serta Menteri Besar Selangor dan rakyat Selangor atas segala keterlanjuran kata-kata patik,” katanya.

Beliau turut berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa akan datang dan akan memastikan bahawa setiap ucapannya adalah selaras dengan adab sopan budaya Melayu kita yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan Institusi Raja.

Dalam ucapannya yang tular tahun lalu, pemimpin Pas itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor.

Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk yang menyifatkan menghina institusi beraja di Selangor.

Muhammad Sanusi disiasat bagi kesalahan berkait ucapan berbaur 3R iaitu kaum, agama dan raja.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here